‘Lantaklah orang nak cakap apa pun’, Sean Lee tak kisah dikecam gara-gara video promo lagu baru

Pengacara yang kini bergelar penyanyi itu dikecam selepas videonya menari ala-ala bintang K-Pop tular di media sosial

Sean Lee menari dengan gerak tari ala-ala penyanyi K-Pop ketika mempromosikan lagu baharunya yang berjudul Tak Sanggup Terima. - Gambar tangkap layar, 18 Januari, 2024

KUALA LUMPUR – Selebriti serba boleh, Sean Lee yang baru berjinak dalam bidang nyanyian tidak kisah apabila dikecam netizen gara-gara video promosi lagu baharunya yang berjudul Tak Sanggup Terima tular di media sosial.

Video berkenaan yang dimuatnaik menerusi akaun Tik Tok Warner Music Malaysia memaparkan Sean menari dengan gerak tari ala-ala penyanyi K-Pop menyebabkan dia dikecam netizen.

Menurut Sean atau nama sebenarnya, Sean Lee Jia Ern, 30, dia tidak menyedari video itu tular dan enggan ambil pusing kata-kata netizen.

“Saya sebenarnya jarang buka media sosial kalau bukan pasal kerja. Media sosial boleh jadi sesuatu yang tidak sihat kepada mental anda.

“Lantaklah orang nak cakap apapun. Saya tahu apa yang saya buat. Hanya saya tahu apa yang terjadi di sebalik tabir.

“Lebih baik ada orang komen, daripada tiada orang komen langsung. Komen baik ataupun tidak, ia adalah maklum balas untuk saya memperbaiki diri dan mengeluarkan produk lebih bagus,” katanya ketika ditemui pada sidang media Gempak Most Wanted Awards 2023.

@warnermusicmy

Oppa! Aduh, nak heart eyes for the song, dance, or visuals ni? We can’t choose! 😍 Korang, jom try this dance on TikTok. Mana tahu boleh nampak macam korean jugak 😭🌹 #TakSanggupTerima #SeanLee

♬ Tak Sanggup Terima – Sean Lee

Bercerita mengenai percubaannya menjadi penyanyi, kata Sean dia sudah lama ingin mengeluarkan lagu sendiri.

“Niat saya untuk keluarkan lagu bukanlah untuk menjadi penyanyi yang terhebat di Malaysia atau nak lawan Aina Abdul atau bertanding di Anugerah Juara Lagu. Itu bukan apa yang saya mahukan. Tetapi kalau ada rezeki di situ, ia satu bonus.

“Dah lama sebenarnya saya nak ada lagu sendiri cuma baru sekarang ada rezeki. Saya dah kenal label muzik dan terjalin hubungan di situ.

“Muzik adalah sesuatu yang universal. Ini adalah medium untuk saya mengekspresikan diri. Apa idea yang ada dalam kepala saya, saya mahu keluarkan dalam bentuk muzik,” katanya.
Lagu Tak Sanggup Terima merupakan ciptaan Mas Dewangga dan Jova Devito. – 18 Januari, 2024