
KUALA LUMPUR – Komposer dan penyanyi Faizal Tahir mengakui penglibatannya sebagai cameo dalam filem kedua terbitan Studio Kembara, Pendekar Awang: Darah Indera Gajah sebenarnya tidak dirancang sama sekali.
Menurut Faizal, pada awalnya dia hanya ditawarkan pihak Studio Kembara untuk menghasilkan lagu runut bunyi untuk filem tersebut yang sudah ditayangkan di seluruh pawagam sejak 11 Januari lalu.
“Setelah pihak produksi Studio Kembara mendapat tahu saya memang aktif berkuda, mereka tertarik untuk bertanya sama ada saya mahu buat cameo dalam filem ini atau tidak. Sebab mereka tahu saya memang tak berlakon.
“Bila dapat tahu mengenai watak sebagai utusan To’ Ku Paloh dari Terengganu yang saya perlu bawakan dalam filem ini, saya tidak fikir panjang menyatakan persetujuan untuk menerimanya.
“Saya tidak fikir panjang sebab secara jujurnya, arwah ayah saya berasal dari Terengganu dan ikatan budaya Terengganu yang dipegangnya sangat kuat,” katanya kepada Scoop.
Jelas Faizal lagi, biarpun wataknya sebagai cameo itu terlalu singkat, namun ia sebetulnya mempunyai peranan cukup besar bagi keseluruhan cerita dalam filem tersebut.
“Seperkara yang saya selalu katakan kepada teman-teman saya, walaupun watak saya sangat sekejap, mungkin hanya seminit atau tidak sampai seminit, tapi tanpa utusan To’ Ku Paloh, cerita ini takkan jadi.
“Saya suka walaupun dapat bawak watak yang sikit itu dan saya juga suka dapat buat lagu yang boleh bawa manfaat.
“Ia memberi kesedaran mengenai kewujudan bangsa Melayu dan kita juga perlu dipertahankan apa yang kita ada.
“Mungkin jika diberi banyak lagi watak sebegini dalam filem seperti ini, mungkin ramai lagi orang akan tengok Faizal Tahir berlakon. Insya-Allah,” katanya.
Faizal bukan sahaja menggubah muzik dan menulis lirik untuk lagu runut bunyi filem Pendekar Awang berjudul Darah Bangsa, bahkan turut menyanyikannya.
Muzik video lirik rasmi lagu Darah Bangsa itu boleh ditonton menerusi platform YouTube, Faizal Tahir yang sudah dimuat naik sejak 29 Disember lalu.
Meraih tontonan hampir 150,000 setakat ini, muzik video itu turut memaparkan beberapa sedutan babak dalam filem Pendekar Awang. – 15 Januari, 2024