KUALA LUMPUR – Jenazah ibu kepada komposer dan penyanyi, Faizal Tahir, Allahyarham Muslipah Aishah Pa’wan Teh, 71, telah pun selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Puncak Alam sekitar jam 3 petang tadi.
Allahyarham yang sebelum ini disahkan menghidap penyakit kanser pankreas tahap keempat telah menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Al-Sultan Abdullah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, kira-kira jam 8.55 pagi.
Beliau sebelum ini menerima rawatan di KPJ Ampang Puteri dan kemudian dipindahkan ke Hospital Al-Sultan Abdullah UiTM.
Mengulas mengenai pemergian ibunya, Faizal Tahir berkata, ibunya didapati menghidap kanser pankreas pada tahap keempat, namun mereka hanya mengetahuinya sejak tiga ke empat minggu lalu.
“Sebenarnya agak terlambat untuk kami mengetahui mengenai penyakit arwah. Jadi, apa yang saya boleh bagi tahu jika ada sesiapa yang punya ibu dan ayah, jika dapat tahu mengadu badan tak sedap, sakit ke, tak sihat atau apa, kita kena usaha juga bawa mereka jumpa doktor.
“Sekurang-kurangnya kita dapat tahu juga apa masalah mereka. Sebab kita nak kurangkan kesakitan mereka,” katanya.
Menurut Faizal lagi, dia sememangnya tidak gemar berkongsi hal-hal peribadinya di media sosial termasuklah tatkala ibunya sedang terlantar sakit di hospital.
“Saya memang tidak gemar berkongsi di media sosial. Sebaliknya, saya lebih suka mengadu kepada Allah SWT kerana Allah yang memiliki kita. Tidak ada apa yang mustahil bagi Allah.
“Walaupun baru hari ini saya muat naik di media sosial mengenai pemergian arwah ibu saya, alhamdulillah yang hadir terlalu ramai.
“Saya sendiri amat terharu dan sebak melihat kehadiran orang ramai. Mungkin saya boleh katakan sebagai anak yang telah lepaskan ibu saya kepada Penciptanya, sementara kita ada ibu jagalah dia sebaik mungkin.
“Sebab bila dia sudah di hujung-hujung hayat dan bila dia dah tak ada, kita akan rasa tak puas untuk jaga dia.
“Arwah mak saya ada tujuh orang anak. Arwah besarkan anak-anak dia dengan sangat hebat. Tapi, kami adik-beradik memerlukan setiap seorang untuk jaga dia.
“Tapi, dia seorang boleh jaga tujuh orang anak, bila dia sakit, tujuh orang kena jaga dia. Alhamdulillah, ini peringatan terhadap diri saya terlebih dahulu, pengakhiran kita ini semuanya sama sahaja bila masanya tiba,” katanya. – 14 Januari, 2024