PETALING JAYA – Pelakon dan juga ahli politik, Datin Anne Ngasri mengakui ramai menyangka dia sudah berhenti daripada dunia lakonan.
Menurut Anne atau nama sebenarnya Naszriah Ngasri, 40, dia belum meletakkan noktah dalam kerjaya lakonan.
“Ramai yang ingat saya dah tak berlakon lagi. Sedangkan saya masih berlakon biarpun tak kerap.
“Saya banyak terlibat dengan produksi keluarga.
“Drama lakonan saya pun banyak keluar di stesen RTM. Mungkin sebab tak ada promosi jadi orang ingat saya dah tak berlakon,” katanya ketika ditemui di tayangan perdana drama Gemersik Berbisik.
Kata Anne, lakonan kini ibarat hobi buatnya dan dia berasa tidak selesa andai terus meninggalkan bidang dicintainya sejak kecil itu.
“Saya selalu cakap yang berlakon sudah menjadi hobi saya. Kalau saya tinggal, rasa macam tak selesa. Sebab itu, saya mengalu-alukan orang panggil saya berlakon.
“Tetapi perlu mengikut jadual saya. Memandangkan sejak tahun lalu saya memegang jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Giat Mara, jadi saya harus fokuskan kepada kerja saya juga.
“Dan yang selalu boleh ikut jadual saya adalah syarikat produksi keluarga saya sendiri tetapi saya tak ada letak sebarang syarat berat. Jadi tolonglah panggil saya berlakon,” katanya.
Bagi mereka yang merindui lakonan Anne, dia turut terlibat dalam drama terbaru terbitan syarikat produksi keluarganya, NS Star studio berjudul Gemersik Berbisik yang ditayangkan di Unifi TV melalui saluran Degup. – 10 Januari, 2024