Filem Abang Adik berjaya raih kutipan RM5.2 juta dalam tempoh 24 hari

Pengarah filem Abang Adik, Jin Ong (kanan, di sini bersama para pelakon filem tersebut) berkata, dia sangat terharu dengan respons serta komen positif diterima daripada rakyat Malaysia - Ellyna Ali/Scoop, 9 Januari, 2024

KUALA LUMPUR – Filem Abang Adik yang mencetuskan fenomena di rantau Asia berjaya membuat kutipan sebanyak RM5.2 juta sepanjang tempoh 24 hari ditayangkan di seluruh pawagam tanah air bermula 14 Disember lalu.

Filem bergenre kekeluargaan arahan Jin Ong itu turut memecahkan rekod apabila menjadi filem tempatan pertama meraih kutipan RM4 juta dalam tempoh 16 hari tayangan.

Jin Ong berkata, dia sangat terharu dengan respons serta komen positif diterima daripada rakyat Malaysia.

“Kami juga mendapat publisiti percuma menerusi reviu serta perkongsian dan gesaan kepada semua yang belum pernah menonton untuk datang ke pawagam dan menonton.

“Dengan sokongan peminat yang menghargai karya kami, Abang Adik dapat memperolehi kutipan pecah panggung untuk menutup tahun 2023 dan membuka tirai 2024.

“Kejayaan Abang Adik tidak akan berhasil tanpa kerja keras dan toleransi daripada semua bakat besar yang bergabung dalam filem,” katanya.

Biarpun meraih kejayaan luar biasa, Jin Ong bagaimanapun berkata, dia tidak akan menghasilkan sekuel filem Abang Adik.

“Bagi saya biarlah Abang Adik berakhir dengan sebuah filem sahaja dan mungkin selepas ini kita akan tumpukan pada kisah lain.

“Memandangkan filem ini masih ditayangkan di pawagam tempatan, selepas ini kita akan bergerak ke Singapura dan seterusnya beberapa negara di Eropah,” katanya lagi.

Sebelum ini, Abang Adik berjaya memecahkan rekod tayangan di Taiwan dengan kutipan pecah panggung sebanyak RM13.5 juta.

Ia juga ditayangkan di festival luar negara dan menerima pengiktirafan dunia apabila menjadi filem Asia Tenggara yang menyapu bersih tiga hadiah utama di Far East Film Festival Ke-25 di Udine, Itali.

Bahkan, pelakon utamanya, Wu Kang Ren turut dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik pada Anugerah Golden Horse ke-60.

Abang Adik mengisahkan dua lelaki tanpa dokumen mengharungi kehidupan miskin di Malaysia dan tinggal di kawasan tersembunyi di Pudu, Kuala Lumpur.

Filem Abang Adik dibintangi Jack Tan, Bront Palarae, Tan Kin Wang, Serene Lim, April Chan serta Kang Ren yang juga pelakon Taiwan. – 9 Januari, 2024