Pah Bedah akan buat ‘comeback’ dalam siri terbaharu, bukan lagi pembantu rumah tapi…

Watak Pah Bedah akan tetap dimainkan Ellie Suriaty yang sebelum ini menjadi pembantu rumah dalam Orang Gaji 41

Watak pembantu rumah kesayangan ramai iaitu Pah Bedah, dikhabarkan bakal membuat comeback menerusi siri terbaharu dan ia turut mengekalkan Ellie Suriaty Omar sebagai pelakonnya. - Gambar tangkap layar YouTube, 4 Januari, 2024

KUALA LUMPUR – Biar pun drama bersiri Orang Gaji 41 terbitan Enuja Productions ditayangkan di TV3 pada 2003, namun hingga saat ini, masih ramai penonton tidak dapat melupakan watak Pah Bedah lakonan Ellie Suriaty Omar.

Bahkan, masih ada dalam kalangan penonton yang mengharapkan agar siri komedi kekeluargaan ini disambung lagi setelah dua musim ia bersiaran pada tahun itu.

Malangnya, harapan itu tidak menjadi kenyataan.

Terbaharu, Scoop mendapat tahu bahawa ada perancangan untuk membawa watak Pah Bedah yang menjadi kesayangan ramai ini, kembali semula di skrin TV. Mesti ramai penonton yang terujakan apabila mendapat tahu berita ini.

Pelakon dan pengarah terkenal, Ellie Suriaty Omar. – Gambar Instagram Ellie Suriaty, 4 Januari, 2024

Menurut sumber, watak Pah Bedah ini akan tetap dimainkan Ellie Suriaty dan bukannya pelakon lain yang sudah pun terkenal mahu pun muka baharu.

Manakala dari sudut jalan ceritanya pula, kehidupan Pah Bedah juga dikatakan sudah naik taraf dan dia tidak lagi menjadi pembantu rumah untuk keluarga Nurin dan Kamarul seperti mana dalam Orang Gaji 41.

Sebaliknya, Pah Bedah sudah membuka perniagaan dengan menjadi pemilik agensi menyediakan perkhidmatan pembantu rumah kepada keluarga yang memerlukan. Wah! Kelas Pah Bedah.

Mengenai pemandu teksi bernama Sudin yang menyimpan hati pada Pah Bedah, tidak pastilah sama ada watak itu juga akan dimunculkan semula dalam siri baharu itu.

Lagipun, pelakon asalnya iaitu Benjy sudah pun kembali ke rahmatullah. Mungkin juga watak Sudin itu boleh digantikan dengan orang lain. Pasti ada penonton yang ingin tahu kesudahan Pah Bedah dengan Sudin. Mereka akhirnya bercinta atau tidak.

Sementara itu, Ellie Suriaty ketika dihubungi Scoop mengakui, dia pernah dihubungi pihak Enuja Productions untuk menjayakan siri Pah Bedah ini.

“Tapi, saya tak tahu pula apa perkembangan siri ini. Pihak Enuja Productions juga masih belum maklumkan apa-apa mengenai perkembangan terbaharu,” katanya.

Apapun, kita tunggu sajalah perkembangannya nanti. Sabar penonton, sabar ya. – 4 Disember, 2023