Tunaikan haji dan lancarkan lagu baharu, azam baharu Ella tahun 2024

Ella turut meminta peminatnya menjaga kesihatan diri apabila Covid-19 kembali merebak

Azam ratu rock, Ella pada 2024 adalah menunaikan ibadah haji serta menghasilkan lagu baharu. - Gambar Instagram Ella, 2 Januari, 2024

KUALA LUMPUR – Menunaikan ibadah haji serta menghasilkan lagu baharu antara azam ratu rock tanah air, Ella Aminuddin pada tahun ini.

Menurut Ella, jika diberikan rezeki dan umur yang panjang, dia ingin mengerjakan haji di Tanah Suci Makkah.

“Mengenai lagu baharu pula, kalau boleh memang saya ingin keluarkan secepat mungkin,” katanya.

Ella turut menitipkan pesanan khas kepada peminatnya mengenai wabak Covid-19 yang kembali merebak.

“Covid-19 bukanlah sesuatu yang baharu buat kita.

“Hati-hati apabila berada dalam keadaan ramai orang. Pakai pelitup mata dan jaga kesihatan selalu.

“Kalau boleh elakkan keluar dengan terlalu kerap kecuali untuk hal yang penting sahaja,” katanya.

Ella juga mengakui tidak sabar bertemu peminatnya di Kota Kinabalu, Sabah sempena Konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota di SICC Mall pada 20 Januari ini. – 2 Januari, 2024