KUALA LUMPUR – Suami kepada Allahyarham Fiza Kamaruddin, Mohd Roshdi Ramli memaklumkan, pihaknya masih menunggu untuk mendapatkan sijil kematian daripada Hospital Charing Cross, London bagi menguruskan jenazah arwah supaya dapat dibawa pulang ke Malaysia.
Menerusi kiriman mesej suara WhatsApp yang dihantar kepada Presiden Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM), Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin, Roshdi atau Dodi bagaimanapun berkata, kelewatan itu berpunca kerana pihak hospital masih lagi belum menerima laporan daripada pemeriksa kesihatan (medical examiner) di sana.
“Saya masih menunggu sijil kematian keluar dari hospital. Sebab semalam (hari Jumaat waktu tempatan di sana) hospital masih lagi tak terima laporan daripada pemeriksa kesihatan sana untuk mereka proses sijil kematian itu.
“Paling cepat hospital dapat keluarkan sijil kematian itu pada hari Selasa. Sebab Isnin adalah hari cuti am di sini. Sabtu dan Ahad mereka tidak bekerja. Harap-harap urusan dipercepatkan.
“Harap-harap hari Selasa, sijil kematian dapat dikeluarkan, boleh daftar dan boleh terus uruskan jenazah,” katanya.
Fiza Kamarudin, 40, yang berkhidmat sebagai pengarang KRU Media disahkan meninggal dunia akibat pendarahan dalam otak di Hospital Charing Cross, London, jam 6.30 petang waktu tempatan (11.30 malam waktu Malaysia) pada 28 Disember lalu.
Memetik kenyataan adiknya, Siti Adiknya Siti Nor Hazlinda, 39, pendarahan otak itu disebabkan oleh sel kanser yang sudah merebak ke seluruh anggota badan hingga mengakibatkan kakaknya rebah di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow, London, pada 27 Disember.
Menurutnya, kejadian berlaku beberapa jam sebelum kakaknya bersama suami dan dua anak mereka berlepas pulang ke tanah air dan percutian ke London adalah hajat terakhir kakaknya bagi meraikan kedua anaknya, Riyadh Haziq, 10, dan Raisya Hannah, 8.
“Sebelum ini kami sekeluarga memberi nasihat agar fikir dahulu sebelum ke sana. Tetapi dia cakap dah janji nak membawa anak-anaknya bercuti. Dia memang nak menggembirakan mereka. Malah, itu juga adalah hajat terakhirnya untuk bersama suami dan anak-anak,” katanya.
Dalam pada itu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memaklumkan, beliau akan membantu urusan Roshdi dan dua anak pasangan berkenaan yang ketika ini masih menunggu panggilan daripada hospital sebelum dibenarkan mendaftar kematiannya.
“Sementara menunggu, insya-Allah saya cuba membantu urusan Roshdi dan dua anaknya. Suruhanjaya Tinggi Malaysia di UK juga sedang membantu urusan yang berkenaan. Kita sama-sama doakan supaya segala urusan ini dipermudahkan,’’ katanya dalam kenyataan di X baru-baru ini. – 31 Disember, 2023
Caption: Masih menunggu sijil kematian daripada Hospital Charing Cross, London bagi menguruskan jenazah arwah supaya dapat dibawa pulang ke Malaysia, suami kepada Allahyarham Fiza Kamaruddin berharap urusan mereka untuk membawa pulang jenazah arwah akan dipercepatkan.