KUALA LUMPUR – Apa sudah jadi dengan acara pentas akhir Hero Dewi Remaja 2023 yang bersiaran secara langsung, malam tadi?
Mengapa acara malam kemuncak pencarian bakat baharu yang sudah punya jenama ‘established’ dan dianjurkan lebih 30 tahun ini menjadi begitu kucar-kacir, kelam kabut dan seolah-olah tiada persiapan?
Persoalan inilah yang bermain di minda penonton, baik yang menonton secara langsung di studio mahu yang menyaksikannya di rumah melalui saluran Astro Ria.
Dalam acara yang berlangsung selama 2 jam itu, seramai 12 orang finalis Pencarian Hero Dewi Remaja 2023 telah menunjukkan bakat masing-masing untuk merebut gelaran juara Hero Remaja dan Dewi Remaja 2023.
Nasib bagaimanapun lebih berpihak kepada bekas pramugara, Aiman Ameer, 23, dan pelajar jurusan teater, Nurel, 21 apabila dinobat sebagai Hero Remaja 2023 dan Dewi Remaja 2023, sekali gus mengetepikan saingan 10 peserta lain pada pentas akhir tersebut yang bersiaran secara langsung dari CIDB Convention Centre, Kuala Lumpur.
Tracie Sinidol selaku Dewi Remaja 2022 dan Mierul Aiman selaku Hero Remaja 2021 turut hadir di pentas utama untuk memahkotakan penerus legasi kemenangan mereka.
Manakala Naib Juara Hero Remaja 2023 jatuh kepada Fitri dan Naib Juara Dewi Remaja 2023 pula berpihak kepada Arabella.
Malangnya, acara penyampaian hadiah untuk kedua-dua juara termasuk pemenang naib juara menjadi begitu kelam-kabut apabila trofi dan hadiah kemenangan mereka lewat tiba dan gagal dikendalikan dengan sempurna.
Inilah yang berlaku kepada Fitri sewaktu tampil menerima trofi dan hadiah kemenangannya sebagai Naib Juara sehingga terpaksa menunggu dalam tempoh 1 hingga 2 minit.
Akhirnya, Fitri terpaksa memberi laluan kepada Aiman Ameer selaku juara untuk mengambil hadiah kemenangannya yang sudah tersedia terlebih dahulu daripada Mierul Aiman, namun yang lucunya trofinya pula tiada.
Hanya selepas Fitri mengambil trofi dan hadiah kemenangannya, barulah Aiman berpeluang menerima trofinya. Memang lucu sekali!
Kedua-dua juara tahun ini masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM10,000 berserta sebuah trofi dan Dewi Remaja 2023 turut menerima sebuah mahkota di pentas akhir yang bersiaran secara langsung dari CIDB Convention Centre, Kuala Lumpur. pic.twitter.com/0rVyL6owPB
— Scoop (@Scoopdotmy) December 30, 2023
Hal yang sama turut berlaku kepada Nurel apabila dia mengambil dahulu trofi dan hadiah kemenangannya daripada Tracie Sinidol tanpa mahkota dan kembali ke tengah pentas.
Akhirnya, Tracie pula yang terpaksa datang ke tengah pentas untuk memahkotanya sebagai Dewi Remaja 2023.
Kegagalan pihak produksi mengendalikan pentas akhir Hero Dewi Remaja 2023 dengan sempurna sehingga melakukan banyak kesilapan membuatkan acara kelihatan tidak serius dan hilang gah atau prestijnya.
Sehingga ada netizen yang melabelkan acara pentas akhir ini seoalh-olah seperti acara ‘prom night’ atau ‘talent time’.
Namun, bermula dari awal rancangan lagi, acara pentas akhir Hero Dewi Remaja 2023 ini sudah nampak tidak terurus kerana terdapat kesilapan serta ‘pertukaran’ yang dilakukan dilakukan secara on the spot oleh pihak produksi sehingga mengelirukan dua orang pengacaranya, Fazziq Muqris dan Hawa Rizwana.
Pemilihan Fazziq Muqris dan Hawa Rizwana juga dipersoalkan kerana pengalaman mereka sebagai pengacara sangatlah baharu dan mereka juga dilihat gagal mengendalikan suasana serta gagal memberikan impak kepada keseluruhan acara tersebut.
Bahkan, Fazziq Muqris sendiri banyak melakukan kesilapan yang tidak seharusnya dilakukan sehingga ia turut menjejaskan kredibilitinya sebagai pengacara.
Selain itu, pemilihan 12 finalis juga dipertikaikan kerana ada bakat baharu yang dilihat lebih layak untuk melangkah ke pentas akhir Hero Dewi Remaja 2023 ini. Turut dipertikaikan kemenangan Arabella dan Fitri sebagai Naib Juara yang disifatkan sebagai tidak layak.
Penggabungan Hero Remaja 2023 dan Dewi Remaja 2023 ini mungkin adalah suatu langkah daripada Nu Ideaktiv dengan kerjasama Astro untuk mencari kelainan atau dinamik baharu untuk mencari bakat serta pelapis baharu.
Akan tetapi, adakah mekanisme yang digunakan itu benar-benar berkesan untuk mencapai objektif yang benar-benar mereka inginkan? – 30 Disember, 2023