PETALING JAYA – Pelakon dan pengarah terkenal, Datuk Aaron Aziz menyasarkan kutipan RM15 juta untuk filem kedua arahannya yang berjudul ‘Sayu Yang Syukur’ yang mula ditayangkan di pawagam hari ini.
Filem Sayu Yang Syukur turut dibintangi Aaron sebagai pelakon utama di samping Nora Danish dan Arja Lee.
“Harapan saya untuk kutipan filem ini kalau boleh sekurang-kurangnya RM15 juta. Tetapi kalau dapat RM10 juta pun okay la,” katanya ketika ditemui di tayangan perdana filem Sayu Yang Syukur.
Kongsi pelakon kelahiran Singapura ini lagi, pada asalnya dia ditawarkan sebagai pelakon sahaja sebelum penerbit akhirnya membuat keputusan untuk melantiknya sebagai pengarah.
“Bila saya turut ditawarkan untuk menjadi pengarah, saya minta untuk baca skrip terlebih dahulu untuk lihat jalan ceritanya macam mana sama ada saya diberi kebebasan untuk ubah sana sini.
“Saya tanya penulis skrip boleh ke saya olah apa yang patut, dan mereka kata okay. Dalam skrip, watak saya pada asalnya tak seperti apa yang dipaparkan dalam filem ini.
“Saya dah biasa berlakon filem dan drama romantik. Tetapi saya mahukan kelainan dalam filem ini,” jelasnya.
Ditanya kenapa mengambil masa selama lapan tahun untuk ditayangkan, kata Aaron terdapat beberapa faktor antaranya pandemik Covid-19.
“Filem ini menjalani penggambaran pada tahun 2015. Kemudian kita ambil masa yang lama untuk proses penyuntingan kerana durasi filem ini sebenarnya sangat panjang.
“Bila dah siap kami ‘hold’ dulu kerana tak mahu ‘clash’ dengan filem-filem yang membawa genre yang sama. Kami tunggu sehingga tiba waktu yang tepat untuk tayangkan filem ini.
“Bila dah sedia untuk tayang tiba-tiba pandemik pula melanda dunia dan kita terpaksa jalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Lepas dah habis pandemik, kita ‘hold’ lagi dan kami buat keputusan bahawa tahun ini paling sesuai untuk tayang filem ini kerana tiada genre sebegini ditayangkan di pawagam buat masa sekarang,” kongsinya.
Sebagai pengarah dan pelakon, Aaron akui dia turut mempunyai cabarannya tersendiri dalam menghasilkan filem ini.
“Sudah tentu punya cabaran kerana saya masih baru dalam bidang pengarahan dan ini adalah filem cinta pertama arahan saya dan ceritanya sangat berat.
“Filem ini bukan berdasarkan novel yang saya boleh baca terlebih dahulu dan dapatkan ‘feel’ kemudian saya aplikasikan dalam filem.
“Skrip filem ini memang ditulis khas untuk filem ini. Sebab itu saya kena pastikan filem ini mendapat sentuhan lain daripada yang lain. Kena ada plot ‘twist’ serta lakonan yang berbeza untuk diri saya sendiri. Pemilihan lokasi yang cantik serta beberapa lagi aspek.
“Saya akui sepanjang terlibat dengan filem ini memang saya stress, tak cukup tidur, jumpa anak pun tidak. Bila orang dah laburkan wang dan beri kepercayaan kepada saya, saya kena pastikan saya jaga amanah ini sebaiknya. Tetapi apa yang boleh saya katakan segala cabaran itu berbaloi,” katanya.
Filem Sayu Yang Syukur terbitan Nusan Bakri ini menceritakan tentang seorang pakar motivasi bernama Liana lakonan Nora Danish yang terlibat dalam kemalangan.
Dia telah diselamatkan oleh dua orang lelaki termasuklah Qudaim lakonan Aaron Aziz. Namun mereka mempunyai niat yang tidak baik terhadapnya selepas terpukau dengan kecantikan yang dimilikinya.
Selepas sedar, Liana trauma dengan apa yang terjadi, namun Qudaim mula sedar dengan perbuatannya dan mencari Liana untuk menuntut kemaafan. – 28 Disember 2023