KUALA LUMPUR – Pengerusi Finas, Datuk Kamil Othman berpendapat bahawa filem Pendatang yang dihasilkan menggunakan wang pembiayaan orang ramai patut ditayangkan di sekolah.
Kamil berkata demikian menerusi hantaran yang dimuat naiknya di akaun rasmi X beliau.
“Harus ditayangkan di sekolah untuk menggalakkan perbincangan dan merungkai persepsi dan prasangka dengan lebih mendalam. Langkah kecil ini mampu menuju destinasi yang diingini,” tulisnya dalam hantaran itu.
Kenyataan Kamil itu mendapat perhatian netizen dan ada yang bertanya sama ada beliau yakin filem itu lulus Lembaga Penapisan Filem (LFP).
Kamil yang membalas pertanyaan netizen itu berkata, pihaknya tidak boleh bercakap bagi pihak LPF.
“Tetapi melihat kepada objektif, sedikit kelonggaran mungkin boleh dilakukan,” tulisnya.
Ada juga netizen yang berpendapat filem itu tidak sesuai ditayangkan di sekolah sebaliknya harus ditayangkan di universiti agar tidak dilihat sebagai propaganda.
“Lebih baik ditayangkan di universiti berbanding sekolah. Ramai ibu bapa pelajar sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan hari ini yang bersikap konservatif mungkin melihat filem ini sebagai propaganda,” tulis salah seorang pengguna.
Filem Pendatang terbitan Kuman Pictures ditayangkan menerusi platform Youtube sejak 21 Disember lalu. Sehingga kini filem itu telah mendapat hampir 400,000 tontonan. – 26 Disember, 2023