PETALING JAYA – Pelakon popular, Zara Zya memohon maaf kerana melakonkan babak berpelukan dengan Sharul Ezani dalam drama terbaru lakonan mereka berjudul Hati Tercarik Luka yang akan disiarkan di TV3 menerusi slot Samarinda.
Menurut Zara atau nama sebenarnya Zainurul Razia, 38, dia akui khilaf dan terlepas pandang mengenai perkara itu.
“Saya minta maaf. Kadang-kadang bila kita bekerja, kita tak sedar perkara itu.
“Seperti yang orang tahu, Zara sebelum ini tidak pernah lakukan babak sebegitu. Kali ini saya rasa macam alamak apa yang saya buat ni.
“Kalau boleh saya tak mahu komen panjang mengenai perkara ini, saya takut. Saya sekadar ingin minta maaf,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem Sayu Yang Syukur.
Menjelaskan lebih lanjut berhubung babak itu, kata Zara, dia dan Ezani melakonkan babak sebagai suami isteri.
“Babak yang tular itu sebenarnya memaparkan sewaktu ulang tahun perkahwinan kami. Saya masak dan tunggu suami balik. Kemudian kami berbual dan suami peluk saya dari belakang. Babak itu hanya dilakukan sekali sahaja,” jelasnya.
Ditanya adakah babak tersebut dilakukan dan ditularkan sebelum disiarkan di kaca televisyen untuk membuatkan orang bercakap mengenainya, Zara berkata, dia bukan individu yang suka mencari publisiti seperti itu.
“Sejujurnya saya tak pernah lakukan sesuatu seperti itu untuk menaikkan drama lakonan saya atau menaikkan nama saya.
“Selama ini pun saya tak pernah ada kontroversi yang sengaja saya cari.
“Saya percaya kepada drama yang saya lakonkan. Semuanya bagus. Drama yang bagus bergantung kepada jalan cerita, skrip, pelakon, lagu dan semua yang terlibat,” ujarnya.
Tambahnya, dia berharap penonton drama itu tidak terus menghentamnya dan menonton karya berkenaan kerana mungkin ada pengajaran yang boleh diambil.
Drama Hati Tercarik Luka akan menemui penonton setiap Isnin hingga Khamis bermula 21 Disember ini pada jam 10 malam di TV3. – 20 Disember 2023