‘Maafkan saya abang’ Aznil terkilan tak dapat kumpul dana lebih untuk arwah Ibnor Riza

Sebelum ini Aznil pernah menyerahkan sumbangan bernilai RM20,000 hasil kutipan dana yang dilancarkan untuk memberi bantuan rawatan sakit kanser arwah Ibnor Riza

Pengacara dan selebriti terkenal, Aznil Nawawi terkilan tidak dapat melakukan lebih buat Allahyarham Ibnor Riza yang menghembuskan nafas terakhir petang tadi akibat barah Limfoma. - Gambar Instagram, 17 Disember, 2023

KUALA LUMPUR — Pengacara terkenal, Datuk Aznil Nawawi meluahkan rasa terkilan kerana tidak dapat mengumpul tambahan dana untuk Allahyarham Ibnor Riza yang meninggal dunia akibat barah Limfoma.

Rasa terkilan itu diluahkan oleh Aznil menerusi hantaran di akaun Instagramnya.

“Abang, Allah tamatkan kesakitan abang. Sekarang abang rehatlah ya.

“Maafkan saya hanya mampu membantu setakat itu dulu.

“Saya terkilan tak dapat usaha lebih untuk kumpul dana untuk abang. Abang maafkan saya abang,” tulisnya di bahagian kapsyen.

Sebelum ini Aznil pernah melancarkan kutipan bagi membantu arwah menampung kos rawatan kanser yang dihadapinya.

Hasil kutipan itu, Aznil berjaya mengumpul sumbangan sebanyak RM20,000.

Terdahulu Ibnor menghembus nafas terakhirnya pada jam 3.30 petang ini di Hospital Canselor Tunku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia.

Allahyarham meninggalkan dua orang balu iaitu Norhayati Mohd Nor dan Sarimah Suleimen serta dua orang cahaya mata. – 17 Disember, 2023