Walau ditamat kontrak rakaman, Kaka Azraff tidak ubah pendirian, ‘saya jelaskan ketidakadilan’

Walaupun perkataan digunakannya agak kasar, tetapi ia adalah merujuk kepada Israel sebagai negara haram dan penindas, bukannya membawa maksud Yahudi

Biarpun menjadi artis rakaman Malaysia pertama ditamatkan kontrak oleh Warner Music, namun Kaka Azraff berkata, tiada apa dapat mengubah pendirian serta sokongannya terhadap Palestin yang menjadi mangsa kekejaman Israel - Gambar Scoop/Ellyna Ali, 7 Disember, 2023

KUALA LUMPUR – Biarpun menjadi artis rakaman Malaysia pertama ditamatkan kontrak oleh Warner Music Malaysia berhubung isu memperjuangkan Palestin, Kaka Azraff menegaskan, tindakan itu tidak mengubah pendirian dan sokongannya kepada rakyat di negara berkenaan yang menjadi mangsa kekejaman Israel.

Bahkan, Kaka menjelaskan, dia akan tetap bersama rakyat Palestin dan Gaza serta tidak akan pernah berhenti bersoladiriti bersama mereka.

“Apa saya lakukan ini sekadar mempertahan hak saudara Islam kita di sana (Palestin). Rakyat di Palestin bergantung kepada kita untuk menyuarakan kekejaman dilalui, menyatakan pendirian dan keperitan mereka, malah mengharapkan kita tidak berdiam diri serta terus bersuara membantah.

“Saya percaya di kala kekejaman dan pembunuhan beramai-ramai berlaku di hadapan seisi dunia, berdiam diri bukanlah satu pilihan. Setiap orang mesti bersuara, hatta dalam sekecil-kecil kapasiti dan ruang sekali pun di dalam DM,” katanya pada sidang media khas di Mutiara Curve, Damansara.

Kaka menjelaskan, dia cuba menjelaskan ketidakadilan di sebalik propaganda Israel melalui Direct Message (DM) yang dihantar kepada pelakon Australia, Nathaniel Buzolic yang tular, sehingga menyebabkan dia dilabel sebagai ‘Pembenci Yahudi’ dan ‘Anti-Semetic’ oleh kelompok Pro-Israel di dalam akaun Je Hate Database di Instagram.

Ujarnya, dia turut berkongsi video kekejaman Israel dan mangsa Gaza kepada Nathaniel selepas pelakon itu, memuatnaik video propaganda menggambarkan kononnya Israel tidak bersalah dan rakyat Gaza yang sengaja memilih kematian.

“Hakikat bahawa Palestin dijajah, Israel adalah negara haram yang sudah melanggar pelbagai undang-undang antarabangsa, Israel melakukan pembunuhan genocide, hakikat ini semua cuba dibenamkan dan didiamkan, sebaliknya digambarkan pula propaganda, kononnya Israel sebagai mangsa dan orang Gaza bersalah memulakan krisis ini.

“Dan saya menulis: Because Israel was the one who started, Israel steal their land and now act like they’re the victim? XXX. Sick people. Hitler should kill all Israel! XXXXXXX XXXXX!” katanya.

Menurutnya, apa dihantarnya itu adalah DM yang bermaksud peribadi dan bukan ditularkannya, tetapi ia mungkin dilakukan penerima DM terbabit.

Kaka Azraff mengadakan sidang media bersama peguamnya malam tadi untuk menuntut Warner Music Malaysia menjelaskan sebab kontraknya ditamatkan – Gambar Scoop/Ellyna Ali, 7 Disember, 2023

“Ya, saya akui saya sepatutnya menggunakan perkataan lebih elok. Tapi, saya cakap apa yang saya cakap. Saya tak nak pandang belakang lagi dan saya perlu bertanggungjawab ke atasnya.

“Ia kemudian dipetik dan ditempek di akaun Jew Hate Database, iaitu akaun propaganda Israel yang menghimpunkan dan mendedahkan tokoh atau individu pembenci Yahudi atau Anti Semitik. Dari situlah perkara ini tular,” katanya.

Jelas Kaka, walaupun perkataan digunakannya agak kasar, tetapi ia merujuk kepada Israel sebagai negara haram dan penindas, bukannya membawa maksud Yahudi.

“Yang saya sebut adalah Israel dan bukan Yahudi. Ada beza di antara Israel dengan Yahudi sebab bukan semua orang Yahudi, bersetuju dengan penindasan dan kekejaman Israel.

“Apa dilakukan Israel ke atas Palestin adalah tidak bermoral sama sekali, jadi mereka tidak layak dapat kata-kata yang bermoral daripada saya,” katanya.

Pada masa sama, Kaka mengambil pandangan dari sudut positif terhadap tindakannya yang lantang bersuara mengenai Palestin, sehingga ia menjejaskan kerjaya seninya.

“Saya ambil dari sudut positif kerana saya tahu saya bersama pihak benar dan betul. Saya tidak mahu melihat dari sudut negatif sebab apa saya buat ini adalah untuk saudara kita di sana. Kalau ia mendatangkan kesusahan yang sedikit buat saya, saya melihatnya dari sudut jihad kecil,” katanya.

Terasa seperti dirinya ditindas dengan penamatan kontrak dari Warner Music Malaysia, Kaka berkata, dia tidak mahu berbangga dengan apa yang terjadi apabila segelintir pihak menggelarkannya sebagai ‘hero’.

Namun, Kaka yakin umat Islam faham apa cuba dimaksudkannya dengan DM terbabit, malah dia berterima kasih kepada mereka yang banyak memberi sokongan, komen dan kata semangat.

Malah, Kaka berkata, dia sangat menghargainya dan bersyukur kerana ada yang dapat melihat sudut pandangan itu sama sepertinya.

Ditanya pendapatnya mengenai selebriti yang mahu lantang bersuara sepertinya, jelas Kaka, ia terpulang pada individu kerana ia mengaitkan risiko ke atas diri masing-masing.

“Sekinya mereka mempunyai kepentingan dan ada perkara mahu dipertahankan, itu semua hak individu itu sendiri. Ini jalan saya, ini yang saya pilih, jadi saya okey sajalah. Tapi, saya juga harap kita yang bersama Palestin akan gunakan suara kita.

“Suara kita kecil tapi sedikit-sebanyak ia pasti memberi impak kepada mereka di Gaza. Jadi saya harap mereka akan berani menyuarakannya tapi dengan cara lebih baik,” katanya.

Penyanyi lagu Hilang dan Gila itu memaklumkan, setakat ini, tiada persembahan membabitkan dirinya dibatalkan berhubung isu konflik Israel dan Palestin terbabit. – 7 Disember, 2023