Peminat Indonesia tak boleh ‘move on’ bila cinta Anna Jobling beralih pada Amir Ahnaf dalam Syurga Itu Bukan Mudah

Rata-rata mereka masih mengharapkan agar percintaan Anna Jobling dan Meerqeen sebagai Melur dan Firdaus masih terus kekal bersama.

Peminat Indonesia masih tidak boleh ‘move on’ apabila cinta Anna Jobling beralih arah kepada Amir Ahnaf dalam Syurga Itu Bukan Mudah, biarpun ia sekadar lakonan dan masih mengharapkan Anna masih kekal dengan Meerqeen. - Gambar Instagram Anna Jobling, 5 Disember, 2023

KUALA LUMPUR – Drama bersiri Syurga Itu Bukan Mudah yang menggandingkan Anna Jobling dan Amir Ahnaf sebagai pasangan suami isteri, telah ditayangkan semalam bagi menggantikan My Famous Ex-Boyfriend.

Ia menampilkan Anna sebagai Aileen dan Amir (Farid) sebagai teraju utama dalam drama bersiri 20 episod arahan Eyra Rahman.

Kali ini Anna Jobling membawa watak Aileen dalam drama bersiri berjudul Syurga Itu Bukan Mudah. – Gambar Instagram Anna Jobling, 5 Disember, 2023

Bagi yang menonton episod pertamanya semalam, tentu dapat menyaksikan babak perkahwinan Aileen dengan Farid dan betapa sweetnya gandingan mereka.

Anna Jobling sendiri turut berkongsi beberapa keping gambar perkahwinan Aileen bersama Farid melalui sebuah hantaran di Instagram miliknya.

“Hingga maut memisahkan kita,” tulisnya sambil menyertakan tanda pagar #SyurgaItuBukanMudah”.
Amir Ahnaf kemudian membalasnya: “Yeke?”

Perkongsian Anna serta komen balas Amir itu mendapat reaksi daripada pengikut serta peminat setianya, tidak hanya di Malaysia, tetapi juga di Singapura serta Indonesia.

Hingga ada netizen yang mengharapkan agar kedua-dua selebriti ini benar-benar berjodoh dalam dunia realiti.

Namun, rata-rata peminatnya daripada Indonesia seakan tidak dapat menerima hakikat bahawa cinta Anna kini sudah beralih arah kepada Amir Ahnaf, biarpun ia hanya sekadar lakonan. Bahkan, mereka masih mengharapkan Anna kembali semula kepada Meerqeen.

Komen daripada @nurull.surbakti : “Ga bisa ga bisa, wajib tetap sama Firdaus”

Sambil menyertakan emoji sedih, @Ami_febriyanti26 pula memberikan komen: “Melur hanya untuk Firdaus bukan dia”

Ini pula komen daripada @depikaluciana_pgb: “Firdaus liat Melur Firdaus”

Tidak kurang juga yang memuji kecantikan Anna, seperti mana komen @deffihardianti: “Cantik bangat Anna (dengan tanda hati)”

Yang ini pula komen daripada @Sabrineeka_elsinatra: “Aaaaa, benar-benar cantik bangat, ga kuat”

Ada juga yang bertanya di mana mereka berpeluang menonton drama Syurga Itu Bukan Mudah.
Komen @mfvikaandriyani: “Di mana bisa nonton drama ni, tolong”

Drama bersiri Syurga Itu Bukan Mudah ditayangkan di slot MegaDrama, Astro Ria, setiap Isnin hingga Khamis. – Gambar Instagram Anna Jobling, 5 Disember, 2023

Sejak membintangi drama bersiri Melur Untuk Firdaus bersama Meerqeen yang sebelum ini tular sehingga mencetuskan fenomena di negara jiran, Anna telah berjaya mengumpul peminat setianya daripada Indonesia.

Syurga Itu Bukan Mudah terbitan Global Station Sdn Bhd mengisahkan mengenai Aileen, wanita yang mempercayai bahawa cinta dan kesetiaan kepada suami merupakan kunci ke syurga.

Dia disatukan dengan Farid iaitu lelaki yang digambarkan sebagai suami yang sempurna dari segi agama dan tanggungjawab namun sisi sebenarnya mula terdedah selepas berkahwin.

Tingkah laku jahat Farid telah menjadikan rumah tangga mereka umpama dalam neraka malah kehidupan Aileen dipenuhi dengan rintangan dan cabaran selepas merungkai sisi gelap suaminya yang terlibat dalam kumpulan dikenali sebagai ‘Alpha Male Society’.

Selain Anna dan Amir Ahnaf, drama bersiri yang ditayangkan di slot MegaDrama, Astro Ria, setiap Isnin hingga Khamis ini dibintangi Dynas Mokhtar, Alya Iman, Fadhli Masoot, Bulan Terry, Dian P Ramlee dan Amir Nafis. – 5 Disember, 2023