KUALA LUMPUR — Penyanyi popular Indonesia, Afgansyah Reza atau Afgan mendedahkan dia dan Raisa bersekolah di sekolah menengah yang sama dan merupakan senior kepada penyanyi itu.
Perkara itu dikongsikan oleh Afgan, 34, ketika mereka membuat persembahan duet di Konsert Afgan Live In Kuala Lumpur With Orchestra yang berlangsung di Dewan Plenary, KLCC malam tadi.
“Saya sangat bangga dengan Raisa. Untuk pengetahuan semua, kami belajar di sekolah menengah yang sama. Tetapi saya tua setahun darinya.
“Dulu sewaktu di sekolah Raisa memang selalu membuat persembahan dan dia menyanyi di majlis ‘prom night’ saya,” katanya.
Afgan mengundang Raisa untuk menyanyikan lagu duet mereka yang berjudul Percayalah.
Menurut Afgan, itu adalah kali pertama dia menyampaikan lagu Percayalah secara duet bersama Raisa di Malaysia.
Pada malam itu juga, Afgan turut menyampai 25 buah lagu yang diiringi oleh 30 pemuzik orkestra dari Malaysia.
Antara lagu yang didendangkan adalah Bukan Cinta Biasa, Dia Dia Dia, Jodoh Pasti Bertemu, Bawalah Pergi Cintaku, Pendam, Untukmu Aku Bertahan dan banyak lagi. 3 Disember 2023