Lumrah wajah tampan lebih ke depan, ‘saya tiada masalah kalau tak popular asalkan terus ada kerja’: Anas

Namun, Anas bersyukur diberi peluang menerajui filem Syif Malam arahan Fairuz Anuar atau Apai bersama dua lagi rakannya iaitu Shahkimin dan Taqim Zaki

Anas Ridzuan yang turut berlakon dalam filem Syif Malam mengakui, dia tidak terasa hati apabila namanya tidak begitu popular dan hanya ditawarkan watak pelakon pembantu. - Gambar Empire Film Solution Sdn Bhd, 29 November, 2023

KUALA LUMPUR – Menyedari paras rupa adalah elemen penting dalam dunia lakonan, Anas Ridzuan mengakui, dia langsung tidak kisah dan tidak terasa hati apabila hanya ditawarkan watak pelakon pembantu di dalam setiap drama atau filem dibintanginya.

Pelakon berusia 34 tahun yang memiliki Ijazah Filem, Teater dan Animasi daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu memberitahu, dia optimis dengan watak pelakon pembantu kerana penerbit menjual produk melalui drama serta filem.

“Untuk menjual produk, kita perlukan orang yang tampan. Itu realitinya. Tapi, pada waktu sama, saya tidak boleh kerja di petrol pam walaupun muka macam ni. Sebab saya belajar berlakon,” katanya sewaktu ditemui di Malam Gala Filem Syif Malam.

Anas bersyukur kerana diberi peluang untuk menerajui filem Syif Malam. – Gambar Empire Film Solution Sdn Bhd, 29 November, 2023

Kata Anas, dia juga tidak memikirkan sangat soal glamor atau meraih populariti dalam industri perfileman yang diceburinya sejak 2012.

“Saya bekerja. Lakonan adalah pekerjaan saya. Saya juga mempunyai diploma dan ijazah dalam bidang lakonan. Saya dibayar untuk berlakon dan industri ini adalah tempat kerja saya.

“Saya tak fikir apa pun pasal soal glamor atau populariti. Yang penting, orang menonton kita dan biarlah yang popular sahaja ke depan.

“Saya tidak ada masalah kalau tidak popular. Kalau popular juga saya tiada masalah. Sebab ini pekerjaan saya.

“Saya cuma harap orang tengok cerita saya dan mereka akan kata saya boleh berlakon dan orang akan bagi saya job lagi. Itu paling penting sebab anak isteri saya nak makan.

“Alhamdulillah, tahun ni saya tidak putus rezeki. Sampai bulan 12, jadual saya penuh. Mungkin, ia rezeki saya dan anak-anak. Sekarang pun saya tengah syuting telefilem Jodoh Gang G,” katanya.

Justeru, Anas bersyukur apabila pihak penerbit memberi kepercayaan kepadanya untuk menerajui filem seram, Syif Malam arahan Fairuz Anuar atau Apai bersama dua lagi rakannya, iaitu Shahkimin dan Taqim Zaki.

“Saya setuju untuk berlakon dalam filem ini kerana saya dah tahu cerita apa Apai nak buat. Lagipun, dia adalah jiran saya.

“Dia datang dengan idea, jalan cerita dan kraf kerja dia yang pernah dia buat di YouTube. Saya hanya masuk dan menyertai produksi ini untuk merealisasikan visual dia di dalam penceritaan dan garapan filem Syif Malam.

“Tapi, tidak sangka pula yang saya akan berjumpa dengan Shahkimin dan Taqim yang juga kawan-kawan saya. Kami semua dah lama kenal.

“Macam Shahkimin, dia adalah rakan sekelas saya waktu kami ambil Diploma Lakon di UiTM. Apai sendiri adalah senior saya, manakala Taqim satu ‘batch’ dengan saya tapi belajar di Aswara.

“Waktu zaman belajar dulu, kami saling menyokong antara satu sama lain kalau ada di antara mereka yang buat pementasan teater,” katanya. – 29 November, 2023

Gambar: Empire Film Solution Sdn Bhd

Caption: Anas Ridzuan yang turut berlakon dalam filem Syif Malam mengakui, dia tidak terasa hati apabila namanya tidak begitu popular dan hanya ditawarkan watak pelakon pembantu