Amylea kini suri hati abang bomba Singapura

Penyanyi itu bagaimanapun enggan mendedahkan tarikh sebenar penikahan mereka

Penyanyi, Amylea Azizan, 37, selamat bergelar isteri kepada pegawai bomba Singapura, Mohammad Aqbar bin Mohamad, 40, dengan sekali lafaz pada majlis pernikahan yang dirahsiakan tarikhnya. - Gambar Amylea Azizan, 27 November, 2023

KUALA LUMPUR – Penyanyi, Amylea Azizan, 37, selamat bergelar isteri kepada pegawai bomba dari Singapura, Mohammad Aqbar bin Mohamad, 40, dengan sekali lafaz pada majlis pernikahan yang dirahsiakan tarikhnya.

Amylea selamat dinikahkan oleh wali hakim di majlis pernikahan yang berlangsung di kediaman keluarga penyanyi itu.

Dalam majlis tertutup itu, Amylea menerima mas kahwin senaskhah Al-Quran dan telekung serta hantaran bernilai RM8,888.

Angka itu dipilih sebagai lambang cinta infiniti dua pasangan sejoli itu.

Kedua-dua mempelai tampil memakai dua busana rekaan pereka fesyen terkenal, Teruntum Putih Redzuan Alias.

Majlis yang berlangsung secara sederhana itu dihadiri ahli keluarga dan rakan terdekat mereka.

Majlis resepsi bakal berlangsung pada 27 Januari tahun depan.

Sempena pernikahannya, Amylea tampil dengan single lagu terbaharu berjudul Panji Putih Buat Pangeran, ditujukan khas buat suaminya. – Gambar Amylea Azizan, 27 November, 2023

Penyanyi yang popular dengan lagu Kendati itu menzahirkan rasa syukur dirinya kini bergelar isteri tanpa disangka kerana perkenalannya dengan Aqbar atau lebih dikenali sebagai Ash berlaku dalam tempoh singkat.

“Ternyata Allah itu maha berkuasa. Dan dalam fikiran saya yang tidak bersedia untuk mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat ini, (tup-tup), saya kini sudah bergelar isteri. Alhamdulillah.

“Perkenalan saya dengan Ash pun melalui media sosial sejak beberapa bulan lalu. Bila dah selesa berkawan, Ash terus melamar saya.

“Selepas mengamalkan beberapa doa dan solat istikharah, ada petanda baik berlaku. Kemudian dia terus berjumpa dengan keluarga saya. Alhamdulillah, saya tak pernah setenang ini sejak Ash hadir dalam hidup saya,” katanya.

Ash pula menyifatkan Amylea seorang wanita yang bijak dan serba serbi tahu mengenai segala perkara, membuatnya tertarik kepada penyanyi itu.

Bagaimanapun katanya, buat masa ini mereka terpaksa melalui kehidupan jarak jauh kerana tugasannya sebagai pegawai Bomba di Singapura.

“Mujur Amylea faham situasi ini dan kami sedang mencari jalan macam mana nak duduk sekali. Perkara ini berlaku terlalu pantas.

“Saya juga tidak sangka perkenalan singkat kami ini diakhiri dengan penyatuan cinta yang indah. Maka, tengoklah macam mana nanti, just go with the flow (ikut sajalah keadaan),” katanya.

Sementara itu, sempena pernikahannya, Amylea tampil dengan single lagu terbaharu berjudul Panji Putih Buat Pangeran, didedikasikan khas buat suaminya.

Menurut Amylea, lagu itu dicipta sebagai tanda cinta mereka yang akan kekal hingga akhir hayat dan dapat didengari anak cucu mereka suatu hari nanti.

“Lagu ini berkisarkan kedegilan hati saya yang merasakan hidup ini seperti sudah berakhir. Panji Putih itu diibaratkan seperti saya mengalah (bendera putih). Pangeran pula sebagai tanda Ash sebagai orang barisan hadapan yang kerjanya saya hormat dan pandang tinggi.

“Ash meminati perkara tradisional dan saya gabungkan citarasa saya dan dia dengan menghasilkan lagu ini dalam genre keroncong moden,” katanya.

Panji Putih Buat Pangeran akan dilancarkan pada penghujung December ini dan peminat boleh mula mendengar ‘teaser’ di media sosial penyanyi itu. – 27 November, 2023