KUALA LUMPUR – Pelakon Sharifah Shahora menzahirkan rasa bangga dengan pencapaian suaminya, Raja Mukhriz yang juga seorang pengarah filem apabila menjadi penerima Anugerah Kecemerlangan Akademik Pace, Universiti Utara Malaysia (UUM).
Anugerah tersebut disampaikan Canselornya, Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah semasa Majlis Konvokesyen Ke-36 UUM di Sintok, Kedah pada 19 November lalu.
Berkongsi perasaannya, Shahora berkata, dia mengagumi dedikasi ditunjukkan suaminya bukan sahaja sebagai pengarah filem tetapi juga sepanjang pengajiannya dalam jurusan Ijazah Sarjana Pengurusan Industri Kreatif di universiti tersebut.
“Walaupun dia seorang yang profesional dalam bidangnya (pengarahan filem), dia percaya pendidikan dan pengalaman harus seimbang. Kedua-dua pengalaman dan pendidikan boleh membantu membangunkan kemahiran baharu.
“Kata Raja Mukhriz, jika dia tidak lagi berada di set penggambaran, dia boleh menyampaikan ilmu kepada generasi baharu sebagai pensyarah.
“Dia selalu bertanya kepada saya. Adakah saya bangga dengan dia? Saya tidak memberikan jawapan. Hari ini, saya ingin katakan saya amat kagum dengannya,” katanya menerusi perkongsian di Instagram.
Jelas Shahora lagi, Anugerah Kecemerlangan Akademik yang disampaikan Sultan Sallehuddin itu bukan sahaja amat bermakna buat Raja Mukriz tetapi turut membanggakan keluarga.
“Semoga berjaya mencapai tahap akademik tertinggi. Semoga pencapaian akademik anda membawa kepada pertumbuhan syarikat kita, Eleven Field Creative. Tahniah,” katanya lagi.
Raja Mukhriz antara pemain industri kreatif hiburan Malaysia yang berjaya menamatkan pengajiannya dalam jurusan Ijazah Sarjana Pengurusan Industri Kreatif di UUM (kampus Kuala Lumpur) dan bakal diraikan dalam majlis konvokesyen pada 23 November ini.
Mengikut jejak langkah suaminya, Shahora juga bakal menamatkan pengajiannya dalam jurusan sama tidak lama lagi. – 21 November, 2023