Dilantik sebagai duta rasmi jenama Balenciaga, Michelle Yeoh dikecam netizen

Balenciaga pernah mencetuskan kontroversi apabila menampilkan imej tidak sesuai melibatkan kanak-kanak

Michelle Yeoh dihujani dengan komen kecaman daripada netizen seluruh dunia kerana menerima tawaran menjadi duta Balenciaga - Gambar Instagram Michelle Yeoh, 13 November, 2023

KUALA LUMPUR — Baru-baru ini rumah fesyen terkemuka dunia, Balenciaga telah mengumumkan pemenang anugerah Oscar, Tan Sri Michelle Yeoh sebagai duta terbaru mereka.

Gambar-gambar Michelle yang membintangi kempen terbaru jenama itu telah dikongsikan di platform media sosial Balenciaga dan Michelle sendiri.

“Hari ini, Balenciaga telah menamakan Michelle Yeoh sebagai duta terbaru jenama kami.

“Sudah rapat dengan rumah fesyen ini, pelakon legenda, penerbit dan artis mempertahankan diri terkenal antarabangsa ini akan terus berkembang bersama jenama kami,” umum Balenciaga dalam kenyataan rasmi mereka yang dimuat naik di media sosial.

Balenciaga telah mengumumkan pemenang anugerah Oscar, Tan Sri Michelle Yeoh sebagai duta terbaru mereka – Tangkapan layar Instagram, 13 November, 2023

Sementara itu, Michelle menerusi hantarannya di Instagram memberitahu bahawa dia terharu apabila dipilih untuk menjadi duta kepada jenama tersebut.

“Jenama ini mencerminkan keaslian dan sentiasa kekal dengan warisannya sebagai pencipta adibusana.

“Memakai Balenciaga membuatkan saya menghargai kesenian dan kehalusan kerja tangan di sebalik setiap karya.

“Ia adalah satu penghormatan untuk bekerjasama dengan Balenciaga,” tulisnya.

Namun di sebalik keanggunan Michelle memperagakan busana dan tas tangan jenama itu, dia telah dihujani dengan komen kecaman daripada netizen seluruh dunia kerana menerima tawaran menjadi duta Balenciaga.

Tahun lalu, Balenciaga telah dikecam ramai kerana menyelitkan unsur keganasan terhadap kanak-kanak dalam kempen mereka apabila menampilkan model kanak-kanak memegang patung beruang, yang dililit dengan aksesori berunsur seksual untuk kempen pengiklanan Musim Bunga/Panas 2023.

Tanda pagar #CancelBalenciaga menjadi sohor di semua platform media sosial sehingga memaksa jenama yang berpangkalan di Paris itu memohon maaf.

Gara-gara kempen pengiklanan Musim Bunga/Panas 2023 ini, tanda pagar #CancelBalenciaga menjadi sohor di semua platform media sosial sehingga memaksa jenama yang berpangkalan di Paris itu memohon maaf – Gambar media sosial Balenciaga, 13 November, 2023

Disebabkan isu kontroversi ini, ramai yang tidak menyangka Michelle sanggup menjadi duta jenama ini sedangkan dia dikenali sebagai seorang yang sangat sayangkan kanak-kanak.

“Awak lebih baik daripada ini. Tolong jauhkan diri anda daripada jenama bermoral rendah pendera kanak-kanak yang sangat menjijikkan ini. Jika anda tidak tahu sebelum ini, sekarang anda sudah tahu,” tulis salah seorang netizen di akaun Instagram Michelle.

Seorang lagi netizen telah memuji penampilan Michelle dalam kempen berkenaan namun mengatakan tidak kepada jenama Balenciaga.

“Anda kelihatan sangat cantik dan saya sangat menyayangi anda. Tetapi tidak kepada Balenciaga,” tulisnya.

Tangkapan layar Instagram, 13 November, 2023

Selain Michelle, Balenciaga turut mengumumkan dua lagi duta rasmi mereka iaitu pelakon kelahiran Thailand, PP Krit Amnuaydechkorn dan Isabelle Huppert.

Sebelum ini, selebriti dan pempengaruh terkenal dunia, Kim Kardashian telah menjadi wajah rasmi jenama berkenaan. – 13 November, 2023