KLANG – Jenazah bekas vokalis Jinbara, Tia atau Shamsul Bakhtiar Zakaria, 53, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kota Raja, di sini, sekitar jam 10 pagi tadi.
Jenazah Tia yang meninggal dunia kerana barah hati di Hospital Shah Alam jam 9.17 malam tadi, dibawa ke kediamannya di Klang dan tiba di Masjid Kota Raja di sini, kira-kira jam 8.30 pagi.
Jenazah dimandi dan dikafankan sebelum disembahyangkan oleh kira-kira 200 jemaah termasuk rakan industri.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Suzan Ahmad yang juga Sub Editor Kanan, portal Scoop.
Suzan ketika ditemui Scoop berkata, dia bersyukur kerana urusan pengebumian arwah suaminya berjalan lancar dan dipermudahkan.
“Saya reda dengan pemergian arwah dan bersyukur segala urusan berkaitan pengurusan jenazah diuruskan kariah masjid di sini.
“Sebelum meninggal dia pernah pesan supaya saya ingat nombor orang masjid di dalam telefon bimbitnya.
“Katanya, jika jadi apa-apa ingat nama orang ini. Dia seolah-olah sudah plan (rancang) hari kematiannya dan cuba untuk mudahkan urusan saya,” katanya.
Ditanya mengenai keperibadian arwah sepanjang hayatnya, kata Suzan, Tia seorang suami dan bapa yang sangat baik.
“Dia tak pernah anggap anak-anak saya sebagai anak tirinya. Dia akan kata mereka adalah anaknya. Malah dia pernah bertanya kepada saya, adakah anak-anak menganggapnya sebagai bapa tiri?
“Dia seorang bapa yang penyayang tetapi sangat tegas, terutamanya berkaitan solat. Sebagai seorang yang bekerja dalam bidang media, saya sering sibuk di pejabat. Arwah yang banyak luang masa bersama anak-anak.
“Malah dia sanggup batalkan persembahan pada malam hari, untuk hantar anak pergi kelas tuisyen,” katanya.
Malah katanya, Tia juga bukan sahaja individu yang merendah diri serta melayan baik sesiapa sahaja, malah seorang pencinta kucing dan akan memberi makan kepada haiwan itu yang datang di luar rumah mereka setiap hari.
“Dia manjakan kucing-kucing luar, termasuk seekor yang kematian ibu, dia akan beri makan setiap hari.
“Kucing ini pun memang dah tahu, jadi setiap hari apabila nak makan, ia akan datang ke luar halaman rumah kami,” katanya.
Dalam pada itu, Suzan berkata, dia reda dengan pemergian suaminya walaupun perasaan sedihnya sukar digambarkan dengan kata-kata.
“Akak tak boleh pertikai apa-apa, tak baik nak persoal sebab Allah dah beri 14 tahun yang sangat indah akak bersama dia.
“Akak reda,” katanya sambil mengesat air mata.
Ceritanya lagi, beberapa jam sebelum pemergian suami tercinta, mereka sempat bergurau bersama dan suaminya menikmati kuih disediakan hospital walaupun kurang berselera.
“Kemudian Abang Tia pergi,” katanya sebak.
Tia disahkan meninggal dunia akibat barah hati pada jam 9.12 malam tadi di Hospital Shah Alam (HSA), Selangor.
Berita duka itu dimaklumkan Suzan menerusi pesanan ringkas kepada Scoop.
“Assalamualaikum. Tia sudah tiada, katanya.
Terdahulu, Tia menerima rawatan di HSA sejak Rabu minggu lalu, selepas dibawa isterinya kerana mengalami sakit perut.
Media melaporkan, Tia memerlukan RM250,000 yang sedang disumbangkan banyak pihak bagi membolehkannya melakukan pembedahan pemindahan hati di Hospital Medanta, India, dengan Suzan bersedia mendermakan hatinya.
Dia menyertai Jinbara pada 2007 dan popular dengan lagu Farhana Puteri Bumi Kenyalang dan Patri.
Tia berkahwin dengan Suzan pada 2009 tetapi tidak dikurniakan anak.
Namun, dia membesarkan anak tirinya, Ahmad Naqiuddin, 22, Qystina Nayli, 20 dan Ahmad Nifail, 17, yang masing-masing kini menuntut di Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) serta Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Banting. – 9 November, 2023
Laporan tambahan daripada Farhana Farush.