ASGV: Ezad Lazim tersingkir, terpaksa bergegas pulang rumah dilanda banjir

Menyampaikan lagu Seksa, Ezad gagal memikat hati juri apabila nyanyiannya dianggap kucar-kacir

Ezad Lazim menjadi mangsa penyingkiran apabila gagal memikat hati juri dengan hanya mendapat markah 58 peratus. – Gambar Astro, November 6, 2023

KUALA LUMPUR – Konsert minggu ketujuh All Star Gegar Vaganza (ASGV) menyaksikan Ezad Lazim menjadi mangsa penyingkiran, apabila gagal memikat hati juri dengan hanya mendapat markah 58 peratus.

Juri profesional, Datuk Ramli MS berkata, nyanyian Ezad yang membawakan lagu Seksa milik asal Ukays, agak kucar-kacir.

“Adoi. Melodi lagu ini sangat merdu. Tetapi jadi kucar-kacir. Lagu ini mempunyai melodi sangat ‘simple’ (ringkas). 

“Sebutan awak juga kurang jelas. Banyak kemam. Tak ada apa-apa yang ‘special’ (istimewa),” katanya. 

Sementara itu, Ezad sewaktu diumumkan sebagai peserta dengan markah tercorot yang membuatkannya tersingkir memberitahu, dia terpaksa bergegas pulang lebih awal kerana rumahnya dilanda banjir.

“Terima kasih kepada Astro, barisan juri dan produksi. Saya bersyukur dapat bersama dengan anda semua di sini. Saya kena balik cepat sebab rumah saya dilanda banjir,” katanya yang menetap di Sepang. 

Pada konsert ketujuh itu, peserta dari Singapura, Hardy Mirza muncul sebagai juara mingguan selepas membuat persembahan mantap menerusi lagu Roman Cinta nyanyian asal kumpulan Mojo. 

Antara peserta turut mendapat pujian juri adalah Siti Nordiana yang menyampaikan lagu Tiada Kepastian nyanyian asal Ziana Zain. 

Menurut Hetty Koes Endang, nyanyian Siti Nordiana hampir sempurna tanpa ada sebarang kesalahan, cuma penyanyi itu perlu lebih bertenaga pada minggu seterusnya.

Pada minggu depan, peserta akan menyampaikan lagu dipilih Ramli sebagai cabaran untuk mereka tampil berbeza daripada karakter masing-masing. – 6 November 2023