BAYAN BARU — Sebanyak RM30,000 berjaya dikumpulkan untuk rakyat Palestin menerusi konsert yang diadakan oleh Ella di Pulau Pinang, malam tadi.
Menurut Ella, dia tidak menyangka dapat mengumpul jumlah yang besar itu untuk disumbangkan kepada rakyat Palestin menerusi Konsert Jilid Akhir Ella Puteri Kota di Spice Arena.
“Kami sememangnya ingin lakukan sesuatu untuk Palestin. Alhamdulillah kita mendapat sokongan yang hebat dan berjaya mengumpul derma dengan jumlah yang sangat tinggi. I’m speechless,’’ katanya pada sidang media selepas berakhirnya konsert terbabit.
Pada konsert itu, paparan kod QR akaun bantuan kemanusian Cinta Gaza Malaysia turut dipaparkan di skrin gergasi di dalam stadium tertutup itu bagi memudahkan penonton yang hadir menderma.
Ditanya sama ada dia gusar konsert terbabit akan menjadi kontroversi di saat ramai rakyat Malaysia sedang bersolidariti terhadap Palestin, Ella berkata, dia turut terkesan dengan keadaan di Gaza namun perlu melaksanakan tanggungjawabnya.
“Sudah tentu saya gusar. Tapi apa yang boleh saya buat? Namun dengan adanya konsert ini, kita sebenarnya boleh membantu rakyat Palestin.
“Bermacam-macam cara serta idea boleh digunakan dan konsert ini adalah salah satu platform. Selain berhibur kita juga berkongsi rasa dan saling menyokong Palestin,” ujarnya.
Pada konsert itu, Ella turut membuka tirai acara dengan bersolidariti untuk Palestin dan memohon umat Islam membaca surah Al-Fatihah.
Dia juga menyampaikan dua buah lagu berjudul Kasih dan Penawar dalam segmen khas yang ditujukan kepada penduduk Palestin.
Suami Ella, Azhar kemudiannya tampil di atas pentas ketika segmen itu dan mengajak seluruh dewan bertakbir dan melaungkan ‘Allahuakbar’ serta ‘Free Palestin’.
Selain itu, Ella mengenakan empat busana berwarna putih dan kelabu sepanjang konsert berlangsung demi menunjukkan sokongannya kepada Palestin.
Difahamkan, pereka fesyen Ella, Hasfitri telah menyediakan tujuh persalinan daripada pelbagai warna namun penyanyi terbabit telah melakukan perubahan itu pada saat akhir, demi menghormati situasi di Palestin.
Dalam konsert yang dihadiri oleh 14,000 penonton itu, Ella menyampaikan lebih 30 lagu popularnya termasuk Sembilu, Layar Impian, Sepi Sekuntum Mawar Merah, Kesal dan Standing In The Eyes Of The World.
Turut membuat kejutan pada malam itu ialah penampilan istimewa Datuk Awie yang berduet bersama Ella menerusi lagu Baldu Biru. – 29 Oktober 2023