KUALA LUMPUR – Pengarah filem terkenal Bollywood, Karan Johar berhajat untuk menghasilkan semula filem klasik Sangam yang pernah mencetuskan fenomena pada 1964.
Perkara itu didedahkan dalam musim terbaharu rancangan bual bicaranya iaitu Koffee with Karan di mana tetamu jemputan untuk episod pertama adalah pasangan suami isteri, Ranveer Singh dan Deepika Padukone.
Dalam episod itu, menerusi segmen ‘Rapid Fire’, Karan bertanyakan soalan kepada Ranveer, siapakah pelakon lelaki yang dia mahu bergandingan bersama jika sebuah filem cinta tiga segi membabitkan dirinya dan Deepika diterbitkan.
Lantas, Ranveer menjawab Ranbir Kapoor.
Ranveer turut mendedahkan bahawa Karan pernah berkongsi idea untuk menghasilkan semula filem Sangam di mana dia mahu Ranveer, Deepika dan Ranbir sebagai teraju utama.
“Awak memang inginkan kami bertiga dalam filem Sangamkan? Awak selalu bermegah, tetapi tak pernah jadikan ia kenyataan,” kata Ranveer.
Karan kemudian menjawab bahawa dia masih boleh menghasilkan filem berkenaan dan bertanya sama ada Deepika mahu membintanginya.
Lantas, aktres itu terus bersetuju.
Menariknya, Ranbir Kapoor merupakan bekas kekasih Deepika tetapi aktor yang juga anak kepada Rishi Kapoor berkahwin dengan Alia Bhatt.
Filem Sangam yang diterbitkan pada 1964 dibintangi Raj Kapoor (yang juga datuk kepada Ranbir), Vjayanthimala dan Rajendra Kumar.
Ia menceritakan kisah tiga sahabat baik yang memendam perasaan cinta tetapi mereka harus berkorban demi persahabatan.
Jika filem ‘remake’ ini menjadi kenyataan, ia pasti menjadi filem pecah panggung kerana membabitkan pengarah dan barisan pelakon gred A Bollywood. – 27 Oktober, 2023