KUALA LUMPUR – Vokalis Hujan, Noh Salleh tidak menyangka penglibatan kumpulan muziknya dalam persembahan kedua di Sydney, Australia tahun ini memberi pengalaman baru buat dirinya.
Mana tidaknya, ketika berada di sana, dia berkesempatan menyaksikan perarakan menuntut pembebasan Palestin yang diadakan di Sydney Town Hall.
“Perarakan berlangsung tepat pada jam 1 petang, dan masa baru menunjukan masa 12 tengah hari. Sempat menyaksikan bagaimana persiapan perarakan Palestin dilakukan, dari sunyi sampailah ia dihadiri 15, 000 peserta.
“Bulu roma naik. Benar-benar bulu roma naik apabila mendengar semua orang melaungkan kata-kata Free Palestine! dan sebagainya,” katanya menerusi satu perkongsian di Instagram miliknya.
Menurutnya, dia menangis sepanjang waktu ketika mendengar ucapan dari pewakilan komuniti Palestin, Yahudi dan puak orang Asli yang terlibat secara langsung dalam perhimpunan tersebut.
“Perarakan kesedaran pembebasan Palestin ini memang benar-benar memberi impak kepada saya. Saya menangis sepanjang berlangsungnya ucapan.
“Ucapan wakil dari komuniti Palestin, Yahudi dan puak Orang Asli memberikan kata-kata realiti. Kesemua mereka ini pernah melalui penindasan dan dikolonisasi oleh mesin sampah yang sama. Jelas, padat dan membara,” katanya.
Noh juga mengakui berjalan bersebelahan dengan pelbagai bangsa yang tinggal di Sydney sama ada Yahudi, Kaukasia, Filipina, China, Korea, Arab dan Indonesia merupakan pengalaman hebat.
“Semua dengan satu misi yang sama, melaungkan kata-kata yang penuh semangat dan ikhlas. Semua orang sangat baik antara satu sama lain dan saling membantu. Situasi itu seperti melihat dunia sedang berpelukan dan berpegangan tangan erat.
“Aku rasa ini adalah trip (kunjungan) Hujan yang terbaik. Malah ini adalah momen hidup aku yang terbaik,” katanya lagi.
Noh bersama Hujan untuk menjayakan persembahan SXSW Sydney 2023 Touchdown di Taman Tumbalong, Sydney, Australia pada 19 dan 20 Oktober lalu.
Selain Hujan, kumpulan Pop Shuvit turut diundang untuk memeriahkan persembahan itu. – 22 Oktober, 2023