Memalukan! Jovian kecam artis, pempengaruh takut sokong Palestin

Hantaran itu dimuat naik susulan beberapa komen daripada pengikutnya mengenai sikap segelintir artis dan pempengaruh di Indonesia yang takut mengecam kezaliman rejim Zionis di media sosial

Pereke fesyen terkemuka tanah air, Jovian Mandagie menyelar sikap segelintir artis dan pempengaruh yang bimbang untuk bersuara dan menunjukkan sokongan mereka terhadap Palestin kerana lebih mementingkan akaun Instagram dan TikTok. - Gambar Instagram Jovian Mandagie, 21 Oktober, 2023

KUALA LUMPUR – Pereka fesyen terkemuka tanah air, Jovian Mandagie membidas sikap segelintir artis dan pempengaruh yang takut menyatakan sokongan terhadap Palestin kerana bimbang akaun Instagram (IG) dan TikTok (TT) mereka akan disekat.

“Memalukan anda semua yang takut untuk tunjukkan sokongan pada Palestin semata-mata bimbang kena sekat di Instagram dan TikTok.

“Kehilangan beribu-ribu pengikut tidak bermakna jika dibandingkan dengan pengorbanan ribuan kanak-kanak tidak berdosa yang dibunuh di Palestin ketika ini. Pertimbangkan apa yang benar-benar berharga!” tulisnya menerusi perkongsian di Instagram.

Jovian memuat naik hantaran itu susulan beberapa komen diterima daripada pengikutnya mengenai sikap segelintir artis dan pempengaruh di Indonesia yang takut mengecam kezaliman rejim Zionis di media sosial mereka.

Seorang pengikutnya, @Mahpey_ berkata: “Kebanyakan artis mahupun pempengaruh Indonesia tidak seberani ini, takut diban (disekat) akaunnya.

Manakala pengguna Instagram @humairoh.ah berkata: “Saya suka anda berani bercakap. Di sini, artis dan pempengaruh diam. Mereka bahkan lebih takut boikot dunia”.

Apapun, Jovian serta Hatta Dolma antara pereka fesyen tempatan yang berani menunjukkan sokongan mereka terhadap perjuangan rakyat Palestin. – 21 Oktober, 2023