‘Bagi RM3 juta pun saya tak mahu’: Tokram

Menurut maestro muzik terkenal itu, beliau tidak akan sesekali menerima tawaran lakonan biarpun diberikan bayaran lumayan

Datuk Ramli MS, 65, atau lebih mesra disapa Tokram mengakui beliau ada menerima banyak tawaran berlakon namun menolak kerana bukan bidang kepakarannya. - Gambar Astro/Azrul Rafie, 20 Oktober 2023

KUALA LUMPUR – Maestro muzik terkenal, Datuk Ramli MS, 65, atau lebih mesra disapa Tokram mengakui beliau ada menerima banyak tawaran berlakon.

Namun, suami kepada penyanyi Datin Alyah itu berkata, beliau terpaksa menolak semua tawaran terbabit kerana ia bukan kepakarannya.

Datuk Ramli MS. – Gambar Astro/Azrul Rafie, 20 Oktober, 2023

“It’s not my forte (ini bukan kepakaran saya). Saya tak suka berlakon. Berlakon itu adalah satu lakonan, dalam kehidupan saya tak ada lakonan. Saya orang yang berterus terang. Saya tak suka cakap belakang,” katanya ketika ditemui pada sidang media program Travel Lawak: Projek Bapak-Bapak musim kedua.

Ditanya jika ada pihak yang sanggup memberikannya tawaran lumayan untuk beliau terjun ke bidang lakonan, kata Tokram, beliau tetap dengan pendiriannya dan tidak akan sesekali menerima.

“Never! (tidak akan). Beri saya RM3 juta pun saya tak akan terima. Bagi saya ada benda yang anda boleh buat dan ada benda tak boleh. Bagilah orang lain buat,” ujarnya.

Terbaru, Tokram akan kembali menemui penonton di kaca TV menerusi Travel Lawak: Projek Bapak-Bapak musim kedua berkenaan yang akan ditayangkan di saluran Astro Warna bermula 2 November depan.

Hubungan sekian lama yang terjalin antara Tokram bersama Datuk Jalaluddin Hassan, Jatt Ali dan Roy Azman antara sebab beliau sudi menjayakan program Travel Lawak: Projek Bapak-Bapak. – Gambar Astro/Azrul Rafie, 20 Oktober, 2023

Ditanya apakah yang membuatkan beliau kembali menerima tawaran untuk terbabit dengan program itu, beliau berkata, hubungan erat antaranya dengan tiga lagi selebriti menyebabkannya bersetuju.

“Silaturahim antara kami sebagai sahabat. Selain itu ini adalah perkara baru dalam kerjaya saya. Saya rasa sangat teruja. Kerana apa kami buat adalah bukan perkara klise yang sering saya buat dalam kehidupan seharian saya. Saya buat program ini bukan sebab duit semata-mata, tetapi kerana persahabatan,” jelasnya.

Selain Tokram, program ini turut disertai Datuk Jalaluddin Hassan, Jatt Ali dan Roy Azman.

Jika musim pertama ke Jepun, kali ini mereka akan mengembara ke bumi Australia sambil melakukan pelbagai cabaran menarik dan mencuit hati. – 20 Oktober 2023