KUALA LUMPUR – Pengarah, pelakon dan aktivis teater, Sabri Yunus, 62, mencetuskan kejutan apabila mengahwini selebriti yang juga rakannya, Angeline Tan, 56, dalam satu majlis pernikahan secara tertutup di Perlis, pagi tadi.
Sabri dan Angeline yang pernah sama-sama menjayakan sitcom Pi Mai Mai Tang Tu arahan Othman Hafsham pada awal 90-an sehingga 2000, dinikahkan Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin atau dikenali Dr Maza.
Hanya dengan sekali lafaz, Sabri sah memperisterikan Angeline yang kini dikenali sebagai Ardini, selepas wanita itu memeluk Islam di Musolla Teduhan Doa yang juga kediaman Dr Maza.
Majlis pernikahan tersebut turut dikongsikan menerusi sesi siaran langsung di akaun Facebook Dr Maza, manakala penyampai radio Issey Titan pula menerusi media sosialnya, berkongsi gambar pernikahan Sabri dan Angeline.
Namun, masih ada netizen seolah-olah tidak mempercayai kesahihan pernikahan Sabri dan Angeline itu serta menganggap ia sebahagaian daripada babak drama.
Pendakwah terkenal, Rozaimi Ramle dalam perkongsian di Facebook, memberitahu bahawa Sabri pernah menyatakan hasratnya untuk bernikah dengan Angeline di Perlis.
“Dia minta saya rahsiakan perkara ini. Alhamdulillah, hari ini selesai sudah pernikahan mereka berdua.
“Istimewanya adalah mereka dinikahkan sendiri Mufti Perlis di Musolla Teduhan Doa yang merupakan kediaman beliau,” katanya.
Dalam kenyataannya kepada Utusan Malaysia, Sabri memberitahu, dia sudah lama merancang mengahwini Angeline tetapi menunggu wanita itu memeluk Islam terlebih dahulu. – 14 Oktober, 2023