KUALA LUMPUR – Karyawan filem tempatan menyambut baik keputusan kerajaan mengurangkan duti hiburan kepada 10 peratus untuk tayangan filem lokal di pawagam di Wilayah Persekutuan.
Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi berkata, keputusan tersebut hadir tepat pada masanya.
“Sebelum ini, memang ada banyak rungutan mengenai isu cukai hiburan sebanyak 25 peratus yang dikenakan oleh kerajaan sebelum ini. Ia cukup membebankan produser filem.
“Jika, cukai hiburan dikenakan dan disalurkan semula untuk pembangunan filem tempatan, ia tidak jadi masalah. Tapi, kebanyakannya disalurkan ke tempat lain,” katanya.
Pada masa sama, beliau tidak menyangka segala perbincangan bersama Menteri Digital dan Komunikasi, Fahmi Fadzil mengenai cukai hiburan dan beberapa isu lain melibatkan industri kreatif benar-benar diambil perhatian.
“Ini hasil kerja Fahmi Fadzil. Terima kasih kerana berjaya menyampaikan luahan hati penggiat seni sehingga ke peringkat Menteri Kewangan. Memang beliau betul-betul buat kerja. Beliau juga anak seni jadi, beliau faham masalah yang kami hadapi,” katanya.
Beliau turut menyambut baik Dana Kandungan Digital (DKD) sebanyak RM60 juta untuk mempromosikan karya tempatan dan menyokong kandungan berteraskan nilai kenegaraan.
“Melalui dana ini bererti kerajaan mahu lebih banyak lagi filem kenegaraan dihasilkan kerana filem seperti itu mampu mendidik serta membentuk jati diri rakyat,” katanya.
Zed Zaidi turut berpendapat kewujudan semula Anugerah Seni baginya cukup signifikan kerana ia membuktikan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim amat menghargai penggiat seni tempatan.
Bagi produser Skop Productions, Datuk Yusof Haslam pula, beliau berharap pengurangan duti hiburan itu akan diperluaskan ke negeri lain, khususnya yang mengenakan cukai hiburan tinggi.
“Walaupun penurunan ini hanya di Wilayan Persekutuan, bagi saya ia satu permulaan dan harap selepas ini akan dapat diseragamkan di negeri lain pula. Terima kasih kepada kerajaan,” katanya.
Mengenai DKD sebanyak RM60 juta pula, beliau berkata, walaupun ada mengharapkan lebih daripada itu, tapi kerajaan mungkin berdepan kekangan berikutan suasana ekonomi tidak menentu ketika ini.
“Saya harap penggiat seni tempatan faham dengan masalah ekonomi dunia yang melanda. Tapi kita harap pada masa akan datang, jumlah DKD dapat ditambahkan atau kembali kepada jumlah asal,” katanya.
Sementara itu, penerbit dan pengarah muda, Muzz Amer yang pernah menghasilkan filem Prebet Sapu berkata, pengurangan duti hiburan itu amat penting kerana ia memberi kesan kepada penggiat filem.
“Saya rasa okey dengan bantuan DKD sebanyak RM60 juta. Sebab ekonomi kita dalam proses untuk pulih. Jadi dengan bantuan DKD sebanyak itu pun saya rasa sudah cukup membantu dan kita kena buktikan kita mampu menghasilkan filem yang bagus.
“Kalau ikut tahun ini juga setiap penggiat filem yang mahu menghasilkan filem akan mendapat bantuan dana maksimum sebanyak RM1 juta. Jadi saya fikir pengagihan akan dapat diberikan kepada lebih ramai lagi penggiat seni,” katanya. – 13 Oktober, 2023