KUALA LUMPUR – Kisah Jada Pinkett dan suaminya, Will Smith dengan Chris Rock sebenarnya sudah lama tercetus iaitu sebelum insiden ‘lempang’ di Anugerah Oscar pada 2022.
Jada mendedahkan, Rock, 58, pernah mengajaknya keluar ‘dating’ (janji temu) sewaktu timbulnya desas-desus mengenai perceraiannya dengan Smith, 55, beberapa tahun sebelumya.
Bintang Girls Trip berusia 52 tahun itu membuat pendedahan tersebut kepada portal People ketika ditemubual mengenai memoirnya, Worthy yang bakal dilancarkan pada 17 Oktober ini.
“Ketika itu, Rock menjangkakan Smith dan saya akan bercerai. Jadi, dia menelefon saya dan memberitahu mahu mengajak saya keluar.
“Saya pula menyoalnya: “Apa maksud awak? Kata dia: “Bukankah awak dan Smith akan bercerai. Saya jawab: “Tidak Rock. Itu hanyalah khabar angin. Dia terkejut dan bersungguh-sungguh memohon maaf,” katanya.
Saat trio ini kembali bertemu, pelawak itu yang bertindak sebagai hos Anugerah Academy (Oscar) mempersenda Jada yang muncul dengan imej berkepala botak.
Perkara itu menyebabkan Smith bangun dan meluru naik ke pentas sebelum melempang wajah Rock sehingga mengakibatkan dia tidak dibenarkan untuk menghadiri Academy Awards selama 10 tahun.
Jada turut membuat pendedahan mengejutkan bahawa dia dan Smith sudah tinggal berasingan, beberapa tahun sebelum tercetusnya insiden tampar terbabit sehingga ia menjadi tajuk berita utama dunia.
Jelasnya, walaupun tiada keputusan tetap dibuat mengenai masa depan perkahwinan mereka, dia dan Smith masih memikirkannya.
“Kami sudah melakukan beberapa kerja yang sangat berat bersama. Kami baru sahaja memperoleh cinta mendalam antara satu sama lain dan kami akan memikirkan bagaimana ke depannya nanti,” katanya.
Jada turut memuji tiga anak lelaki Smith daripada hubungan terdahulu suaminya, iaitu Jaden, 25; Willow, 22 dan Trey, 30 kerana berdiri teguh di sisinya sewaktu saat sukar dalam hubungan mereka berdua.
“Anak-anak saya, mereka guru kecil. Mereka mengajar saya mengenai penerimaan diri yang mendalam. Mereka suka setiap bahagian diri saya. Tahap cinta, kasih sayang yang mereka ada untuk saya dan ayah mereka adalah tanpa syarat,” katanya. – 12 Oktober, 2023