Gigi Hadid dikecam hebat kerana kutuk Hamas, netizen cuba ingatkan sejarah hidup keluarganya dan kezaliman Yahudi

Di sebalik pujian yang diterima, ramai juga yang tidak menyenangi apa yang diluahkan Gigi

Kenyataan yang dimuatnaik Gigi Hadid di Instagram miliknya tentang konflik Israel-Hamas menerima reaksi yang berbeza sehingga ia dibahaskan dengan cukup hebat sekali di media sosial X sehingga menjadi trending. - Gambar Instagram Gigi Hadid, 11 Oktober, 2023

KUALA LUMPUR — Supermodel Palestin-Belanda, Gigi Hadid yang selama ini memperjuangkan slogan #FreePalestine akhirnya membuka mulut mengenai konflik yang tercetus antara Israel dan Palestin.

Menerusi kenyataan yang dimuatnaik di Instagramnya, Gigi menyuarakan pendiriannya terhadap mereka yang terjejas dengan tragedi berkenaan, sehingga mengakibatkan banyak nyawa yang tidak berdosa terkorban.

Gigi seperti masyarakat dunia lain mahukan Palestin yang bebas namun pada waktu yang sama ia tidak seharusnya mengorbankan orang Yahudi. – Gambar Instagram Gigi Hadid, 11 Oktober, 2023

Biarpun kenyataan itu mendapat pujian, namun ramai yang tidak menyenanginya apa yang ditulisnya itu.

Kata Gigi, sekali pun dia mempunyai impian dan harapan besar untuk melihat pembebasan Palestin tetapi pada waktu yang sama ia tidak seharusnya mengorbankan orang Yahudi.

“Keganasan terhadap orang tidak berdosa tidak membawa apa-apa kebaikan untuk gerakan ‘Free Palestine’.

“Idea tersebut hanya akan mencetuskan kitaran balas dendam yang dahsyat dan menyakitkan (yang mana tidak harus ada orang awam tidak bersalah, Palestin atau Israel layak menjadi mangsa) dan membantu mengekalkan idea palsu bahawa menjadi Pro-Palestin – antisemestisme,” tulis kekasih aktor Bradley Cooper ini.

Kakak kepada supermodel Bella Hadid ini berkata lagi:

“Sekiranya anda terluka, saat saya mengucapkan takziah hari ini dengan orang yang saya sayang, kedua-duanya Palestin dan Yahudi, saya menghantar cinta dan kekuatan saya kepada anda – sesiapa sahaja dan di mana sahaja anda berada.

“Terdapat banyak perkara yang kompleks, peribadi dan perasaan yang valid, tetapi setiap manusia berhak mendapat hak asas, layanan dan keselamatan, tidak kira kewarganegaraan, agama, etnik atau di mana mereka dilahirkan.

“Saya tahu kata-kata saya tidak akan pernah cukup atau menyembuhkan luka yang sangat dalam bagi ramai orang, tetapi saya sentiasa berdoa untuk keselamatan nyawa yang tidak bersalah,” katanya.

Sebelum itu, Gigi membuka kata dengan meluahkan rasa sedihnya apabila konflik yang disifatkannya sebagai tidak wajar ini menyebabkan nyawa yang tidak berdosa diragut setiap hari terutama golongan kanak-kanak.

Hantaran yang dimuatnaik Gigi kira-kira 11 jam yang lalu itu menerima like sebanyak 924, 855, namun pada waktu yang sama ruangan komen telah ditutup. Lantaran itu ia telah dibahaskan dengan cukup hebat di Twitter sehingga menjadi trending.

Antara kecaman yang diterimanya ialah daripada @dracarys_08 yang menulis:

“Keluarga bapa Gigi Hadid telah dipindahkan dari rumah pusaka mereka pada tahun 1948 oleh keluarga Yahudi yang mereka telah berikan perlindungan.

“Namun dia memilih untuk tidak bersuara dengan semua kekejaman yang dilakukan Israel terhadap kanak-kanak Palestin dan meletakkan kenyataan ini untuk menyebelahi kedua-dua belah pihak. Sungguh memalukan”.

Kata @SanaFat09136597 :

“Setiap serangan ke atas Palestin oleh IDF dilabelkan sebagai konflik media arus perdana, Gigi Hadid lebih menyukai kulit putih, dia pasti terlupa bahawa dia juga rakyat Palestin. Bella jauh lebih baik daripada Gigi.

Soal @mufastamo: “Kenapa semu orang memuji Gigi Hadid. Kenyataannya mengenai Palestin adalah nada pekak?

@hgmeryem pula dalam komennya berkata: “Bolehkan seseorang mengingatkan Gigi Hadid bahawa dia adalah rakyat Palestin?

Dengan emoji menangis, @vaalerief pula menulis: “Adakah Gigi Hadid sebetulnya memahami apa itu antisemitism?

Sementara itu, ada juga yang menyokong dan memberikan pujian terhadap apa yang diluahkan Gigi itu.

Kata @innermusen: “Kenapa mahu Gigi Hadid untuk berpihak? Dia mempunyai kepentingan di kedua-dua belah pihak, dan mereka yang tidak bersalah serta tidak terbela yang paling menderita dalam huru-hara ini. Mencari perdamaian di kedua-dua belah pihak adalah perkara terbaik untuk dilakukan. Saya bersama dia (Gigi) untuk keamanan!

Adik-beradiknya yang lain iaitu Bella Hadid dan Anwar Hadif sebelum ini diakui cukup vokal menyuarakan hak-hak rakyat Palestin. Bahkan mereka juga sering menyeru gerakan Free Palestin.

Ayah mereka, Mohammaed Hadid adalah seorang ahli perniagaan berasal dari Palestin namun berhijrah ke Amerika Syarikat. – 11 Oktober, 2023