KUALA LUMPUR — Pelakon popular, Sweet Qismina mengakui dia tidak serik untuk kembali mengacara selepas insiden tersalah umum nama pemenang yang berlaku di pertandingan akhir Bintang Kecil RTM 2023 di Kuching Sarawak bulan lalu.
Menurut Sweet atau nama sebenarnya Farhana Qismina Supandi, 25, itu bukan kali pertama dia menjadi pengacara untuk program yang disiarkan di RTM. Katanya tahun lalu semuanya berjalan lancar.
“Alhamdulillah, tahun lepas segalanya berjalan dengan lancar. Cuma tahun ini berlaku insiden yang tidak diduga.
“Saya terima dengan hati yang terbuka. Tak ada langsung perasaan fobia atau apa. Apa yang saya tahu, jika saya diberikan peluang lagi sekali, saya akan buat yang terbaik,” katanya ketika ditemui pada sidang media drama Cik Misi 123.
Dalam perkembangan lain, drama terbaru lakonan Sweet dan suaminya, Adam Lee iaitu Cik Misi 123 kini sedang ditayangkan di saluran Astro Ria setiap Isnin hingga Jumaat jam 6 petang.
Drama ini menjalani penggambaran pada tahun 2021 dan mengisahkan tentang perjalanan seorang pelatih jururawat.
“Sewaktu berlakon drama ini, kami baru sahaja bertunang. Sebelum ini kami banyak berlakon drama tema berat. Ini kali pertama kami terlibat dengan drama bergenre romantik komedi,” ujarnya.
Selain Sweet dan Adam, drama yang diarahkan oleh Feroz Kadir ini turut dibintangi oleh Hafreez Adam dan Bella Dally. Bella turut bertindak sebagai penerbit untuk drama ini. – 11 Oktober 2023