“Kenapa perlu jaga hati pihak sana? Bukan ke hati isteri sendiri lebih penting?”: Bella Astillah persoal Aliff Aziz

Ia susulan Aliff seolah-olah cuba menjaga perasaan pihak lain berbanding hatinya, ketika penyanyi itu ditemubual petugas sebuah program televisyen

Isu membabitkan Aliff Aziz (tengah), Bella Astillah (kanan) dan Sophia Albarakbah kembali menjadi tumpuan susulan kehadiran pelakon wanita itu ke GV10. - Gambar media sosial, 11 Oktober, 2023

KUALA LUMPUR: Nampaknya isu melibatkan tiga artis sensasi, iaitu Aliff Aziz, Bella Astillah dan Sophia Albarakbah kembali menjadi tumpuan ramai.

Terbaru, Bella Astillah mempersoalkan tindakan suaminya yang dikatakan cuba menjaga hati Sophia, selepas pelakon itu hadir ke konsert All Star Gegar Vaganza (GV10).

Kehadiran itu mencetuskan persoalan ramai, selain menimbulkan ketidakpuasan hati Bella Astillah, memandangkan Sophia pernah melakukan kontroversi membabitkan Aliff yang pernah bergandingan sebagai pasangannya dalam sebuah drama.

Menerusi hantaran dimuatnaik Bella Astillah atau nama sebenarnya Dayang Nabellah Awang Astillah, 28, di Instagram Story itu, dia mengajukan persoalan kepada Aliff.

Bella Astillah mempersoal tindakan suaminya, Aliff Aziz yang dikatakan cuba menjaga hati Sophia Albarakbah. – Gambar instagram story Bella Astillah, 11 Oktober, 2023

“Belum berhubung lagi? Kenapa akan berhubung ke? Kenapa harus jaga hati pihak sana?

“Bukan ke sepatutnya jaga hati isteri jauh lebih penting?, tulisnya melalui hantaran itu.

Menerusi video berdurasi 49 saat itu, Aliff ketika menjawab soalan media berhubung kehadiran Sophia mengatakan, dia nampak kelibat wanita terbabit susulan jarak antara pentas dengan tempat duduk penonton dekat.

“Tadi pun ada rakan-rakan media tanya, tapi bagi Aliff sesiapa pun boleh datang untuk menonton Gegar Vaganza,” kata juara GV8 itu.

Terdahulu, kemunculan Sophia di konsert G10 Ahad lalu, mencetuskan kontroversi, namun wanita itu menegaskan dia hadir untuk menemani sepupunya, iaitu penyanyi Aisha Retno yang diundang membuat persembahan di segmen Live Plus. – 11 Oktober 2023