KUALA LUMPUR – Pereka fesyen, Anuar Faizal kesal dengan tuduhan aktivis Orang Asli, Shaq Koyok yang mendakwa dia mengeksploitasi etnik Mah Meri untuk pertunjukan fesyennya.
Menurut Anuar, dakwaan dilemparkan Shaq Koyok melalui platform media sosialnya sama sekali sekali tidak berasas dan dibuat berdasarkan tuduhan tanpa usul periksa.
“Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa saya sudah tiga tahun bekerjasama dengan komuniti Orang Asli Mah Meri di Pulau Carey iaitu sejak 2021 lagi. Terbaharu, saya ambil mereka sebagai muse.
“Apa yang saya lakukan ini sekadar satu usaha untuk memberikan penghargaan kepada mereka yang selama ini sering dianaktirikan,” katanya kepada Scoop.
Terdahulu, Shaq Koyok menerusi laman X (dahulu dikenali sebagai Twitter) mengecam tindakan Anuar yang didakwa mengeksploitasi ‘topeng’ yang digunakan dalam upacara ritual komuniti Orang Asli Mah Meri semasa pertunjukan fesyennya baru-baru ini.
The darker side of fashion! They think they can exploit the indigenous ceremonial object as just another costume for fashion. This is not acceptable! #fashion pic.twitter.com/6XBp5WvCbU
— Shaq Koyók (@ShaqKoyok) October 8, 2023
“Sisi gelap fesyen. Mereka fikir mereka boleh mengeksploitasi objek adat istiadat masyarakat peribumi untuk dijadikan fesyen. Ini tidak boleh diterima!
“Dan mereka menggunakan nama suku Mah Meri untuk koleksi tersebut. Ini akan merendahkan kesucian budaya dan adat asli Mah Meri. Di manakah belas kasihan?” soalnya.
Mengulas lanjut, Anuar berkata, dalam pertunjukan fesyen yang diadakan bersama pihak CIMB baru-baru ini, dia cuba memaparkan keunikan aksesori dimiliki komuniti Mah Meri termasuk ‘topeng’ yang digunakan mereka.
“Sebelum melakukan pertunjukkan fesyen bersama mereka, saya berbincang terlebih dahulu dengan ketua adat mereka untuk meminta izin sebelum melakukan sesuatu.
“Kalau saya tidak buat perbincangan, bagaimana saya hendak dapatkan topeng mereka itu kerana ia datangnya daripada komuniti Mah Meri itu sendiri.
“Kita juga turut mematuhi pantang larangnya iaitu menjaga topeng itu dengan sebaiknya dan tidak melangkahnya,” katanya.
Sementara itu, Anuar berkata, dia juga mempunyai sebab-sebab tertentu untuk terus bekerjasama dengan komuniti Orang Asli Mah Meri.
“Ramai rakyat Malaysia tidak menyedari atau mengetahui bahawa ukiran dan anyaman kaum Mah Meri bertaraf dunia dan diiktiraf pihak Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) sendiri.
“Seperkara lagi yang membuatkan saya bangga dengan Mah Meri adalah kerana mereka kaum Orang Asli pertama yang mencipta fabrik. Mereka juga boleh meneroka lautan tanpa menggunakan kompas.
“Mereka menitiskan air mata apabila melihat saya mengangkat anyaman mereka ke tahap itu kerana sebelum ini, mereka akui anyaman tersebut hanya dibuat tikar dan sering dipijak-pijak,” katanya.
Susulan penjelasannya itu, Anuar berharap, tiada lagi pihak akan sesuka hati melemparkan tuduhan tanpa mengetahui objektif di sebalik usaha dilakukannya itu.
“Dan, ada baiknya juga untuk kita terus menyokong produk tempatan berkualiti lebih-lebih lagi yang dihasilkan kaum Mah Meri,” katanya. – 9 Oktober, 2023