KUALA LUMPUR: Pengarah dan pelakon, Majed Salleh menghembuskan nafas terakhir pagi tadi di Hospital Selayang pada usia 65 tahun akibat masalah jantung.
Berita duka itu dimaklumkan isterinya, Nur Shida Zikir dan dikongsi adik iparnya, Shiha Zikir di akaun media sosial masing-masing.
“Assalamualaikum. Abang ipar Shiha telah kembali ke rahmatulullah jam 6.22 pagi tadi. Mohon sedekahkan Al-Fatihah buat almarhum. Semoga diampunkan segala dosa-dosanya dan tergolong bersama golongan beriman,” tulisnya.
Jenazahnya akan disolatkan di Masjid Al-Khairiyah Sri Gombak dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Bukit Permata Gombak, selepas solat Jumaat.
Terdahulu, arwah Majed dilapor kritikal apabila fungsi jantungnya hanya berada pada tahap 25 peratus Jun lalu.
Allahyarham juga sempat menjalani pembedahan memasang perentak jantung di Hospital Serdang pada bulan sama.
Sepanjang bergelar pelakon dan pengarah, arwah membintangi beberapa filem, termasuk Maria Mariana serta mengarahkan drama bersiri Gerak Khas dan filem Syaitan Munafik. – 6 Oktober 2023