KUALA LUMPUR – Pelakon berbakat besar, Beto Kusyairy tidak kisah sekiranya diminta melakonkan adegan ‘buka baju’ dalam mana-mana naskhah jika bersesuaian dengan kehendak skrip.
Menurut Beto atau nama sebenarnya NurKusyairy Zakuan Osman, 43, dia boleh melakonkan babak tersebut tetapi tidak dipaparkan secara keterlaluan sehingga mampu membangkitkan keghairahan penonton.
“Tengok kepada keperluan babak itu. Kenapa dia perlu buka baju? Kalau ada jawapan yang kukuh, saya tak kisah.
“Sebagai seorang aktor, selagi tak bercanggah dengan sensitiviti, saya okay. Tetapi kalau saja-saja nak ‘menjual’ atau umpan penonton saya tak nak.
“Mungkin boleh ambil pelakon lain yang lebih sesuai. Saya ni dahlah berwajah Jawa,” katanya sambil ketawa.
Terbaharu, Beto bakal muncul sebagai seorang adiwira dalam drama bersiri Super Wira yang akan ditayangkan di saluran Astro Ceria tidak lama lagi.
Membawakan watak sebagai Kapten Gemilang, Beto memberitahu ada beberapa sebab membuatkannya menerima tawaran untuk membawa watak tersebut.
“Saya tak pernah lakonkan watak sebegini. Dan saya memang teringin sangat nak berlakon di bawah arahan pengarah Ghaz Abu Bakar. Kita tahu hasil kerja Ghaz macam mana.
“Banyak elemen menarik dalam drama ini seperti kekeluargaan, heroism, perasaan bersalah, egoistik sebagai seorang bapa dan juga seorang adiwira,” katanya.
Selain Beto, drama Super Wira turut dibintangi Nadhir Nasar, Zizan Razak, Mira Filzah, Ezzaty Abdullah, Idan Aedan dan Arena Wan. – 4 Oktober 2023