KUALA LUMPUR – Penyanyi Suki Low, salah seorang peserta yang tersingkir daripada Gegar Vaganza All Stars 10 (GV10) mengakui sedikit terkilan dan kecewa apabila gagal memberikan persembahan terbaik dalam program berbentuk pertandingan nyanyian itu.
Membawakan lagu Tak Ingin Usai yang dipopularkan penyanyi Indonesia, Keisya Levronka, Suki mengakui tiada sebab lain yang mengakibatkan dirinya tersingkir kecuali kelemahan persembahannya di pentas konsert itu.
“Saya memilih lagu Tak Ingin Usai kerana tone (nada) penyanyi asal lagu ini juga sama macam saya. Jadi saya memang boleh bawa lagu ini. Ia juga lagu kegemaran yang saya suka nyanyikan. Saya juga pernah nyanyikan lagu ini di media sosial dan saya sangat selesa dengan lagu ini.
“Sebenarnya, saya sudah ada plan (rancangan) lain untuk persembahkan lagu ini. Tapi ia tidak dapat dilakukan. Tapi, saya rasa ia bukan isu yang menjadi punca saya tidak memberikan yang terbaik. Saya rasa ia disebabkan kegagalan diri saya sendiri. Saya tidak cukup stabil dan tidak memberikan 100 peratus dalam persembahan saya.
“Lagipun tahun ini, GV disertai All Stars. Jadi expectation (harapan) juri sangat tinggi. Semua perkara mikro diambil kira. Saya mengatakan ini, sebab setiap kali waktu latihan raptai full dress (penuh), Tok Ram (Datuk Ramli MS) akan membuat pra-penjurian.
“Dia akan bagi banyak tips yang boleh membantu untuk penambahbaikan dalam persembahan kita. Melalui komen yang diberikannya itu, saya sudah dapat mengagak bahawa expectation (harapan) juri kali ini sangat tinggi. Tidak harus ada ruang untuk kami semua membuat kesilapan,” katanya pada sidang media GV10 selepas berakhirnya pentas konsert itu.
Pada konsert minggu kedua GV10 semalam, dua peserta disingkirkan dan selain Suki Low, Clif Umar juga gagal mempertahankan kedudukannya untuk mara ke minggu seterusnya.
Jelas Suki lagi, jika dia sendiri tidak puas hati dengan persembahannya semalam, apatah lagi barisan juri sendiri.
“Saya terkilan sebab tidak puas menyanyi di GV dan saya juga sangat kecewa dengan diri sendiri. Setiap kali beraksi di pentas, saya akan menilai semula persembahan saya. Kalau ada kesilapan, saya tanya diri saya, Suki kenapa macam ni?
“Saya memang agak tegas dengan diri sendiri setiap kali menilai semula persembahan saya. Tapi, ia juga satu proses pembelajaran buat saya. Kita mesti sedar di mana kesalahan kita,” katanya.
Selepas penyingkirannya, Suki berkata, dia kini berpeluang kembali melakukan rutin hariannya termasuk menghabiskan masa dengan keluarga.
“Saya juga tidak perlu cancel show (batal persembahan). Sebelum ini, ada beberapa show (persembahan) yang saya tidak dapat putuskan untuk buat atau tidak. Sekarang saya boleh melakukannya,” katanya.
Suki juga memberitahu dia bersikap terbuka andai pihak Astro melakukan kejutan untuk menyerap masuk semula dirinya ke dalam program itu.
“Kalau ada rezeki saya kembali beraksi semula di pentas GV, saya takkan ragu-ragu untuk melakukannya.
“Saya sangat sayangkan pentas GV ini. Sebab ia satu-satunya pentas yang beri saya peluang untuk jadi kreatif. Kita semua tahu, bila GV semua orang tidak akan main-main dan semua akan bagi A Game,” katanya.
Dalam konsert minggu kedua GV10, Hardy Mirza mengungguli kedudukan teratas dengan meraih markah sebanyak 79 peratus disusuli Jaclyn Victor (75.50 peratus), Azharina (74.50 peratus), Liza Hanim (73 peratus) dan Datuk Aishah (69.50 peratus).
Sementara itu, Noryn Aziz pula mendapat markah sebanyak 69.25 peratus, Nikki Palikat (68.50 peratus), Naqiu (66.75 peratus), Siti Nordiana (66.50 peratus), Ayai Ilussi (66.25 peratus), Tomok (65.75 peratus), Zamani (65.50 peratus), Aliff Aziz (65.25 peratus), Ezad Lazim (65.25 peratus) manakala Suki Low (56.25 peratus) serta Clif Umar (53.23 peratus). – 2 Oktober, 2023