Pameran Seafarer: Melayar jiwa Rasfan Abu Bakar tentang pelaut dan keindahan landskap laut

Siri pameran solo kelapan Rasfan ini juga banyak memaparkan sapuan berus ekspresif serta percikan warna spontan yang melatari hampir kebanyakan komposisi

Menurut Rasfan Abu Bakar, berkarya bukan satu kerja yang mudah kerana ia mengambil masa yang panjang dan menuntut banyak pengorbanan - Gambar Fariz Azmir Ghazali, 1 Oktober, 2023

KUALA LUMPUR – Siapa yang tidak pernah terpukau dengan pemandangan indah landskap laut. Warna-warna indah di kaki langit ketika senja melabuhkan tirai, deruan ombak menghempas pantai serta angin laut yang menyapa muka.

Keindahan fenomena laut yang memukau pemandangan ini telah menjadi satu ilham buat artis multidisiplin tanah air iaitu Rasfan Abu Bakar lalu diterjemahkan dalam bentuk catan yang kini sedang dipamerkan dalam pameran solonya yang kelapan ini berjudul Seafarer.

Seafarer yang bermaksud pelaut merupakan satu individu yang penuh dengan peranan dan tanggungjawab ketika berda di lautan luas. Pelaut juga sering berhadapan dengan situasi tidak menentu seperti dipukul gelora ombak, taufan, panas terik matahari, hujan ribut dan pelbagai lagi.

Pameran Seafarer sedang berlangsung di Balai Seni Lukis Melaka bermula dari 15 Julai sehingga 1 Oktober 2023 – Gambar Fariz Azmir Ghazali, 1 Oktober, 2023

Sungguhpun demikian kecekalan pelaut tetap diiringi dengan landskap laut yang indah seperti sinar saat matahari tenggelam diufuk langit serta pantulan cahaya bulan pada waktu malam. Situasi ini membangkitkan pelbagai pengalaman visual dan kemudianya diterjemahkan di atas kertas dan juga kanvas.

Melalui siri Seafarer ini, pelukis dan pensyarah ini memfokuskan kepada warna-warna terang dan garang. Ia adalah satu metafora terhadap keadaan laut yang sukar untuk ditawan tetapi pada masa yang sama sentiasa mengetuk jiwa. Siri ini juga banyak memaparkan sapuan berus ekspresif serta percikan warna spontan yang melatari hampir kebanyakan komposisi.

Unsur Estetik

Menurut Rasfan karya yang dihasilkan menekankan kepada unsur-unsur estetik dalam seni. Estetik ialah aspek asas seni yang merangkumi kajian keindahan, daya tarikan visual dan prinsip yang membimbing pemahaman dan penghayatan terhadap karya seni.

Ia menyelidiki elemen subjektif serta objektif lalu membentuk persepsi khalayak terhadap seni. Estetik juga membawa pemerhati untuk meneroka hubungan rumit antara kreativiti dan pengalaman manusia.

Pada asasnya estetik meneroka pengertian kecantikan, keharmonian dan keseronokan visual dalam bidang seni dan lukisan. Ia bertujuan untuk memahami aspek komposisi, warna, tekstur dan bentuk tertentu melalui emosi dan deria.

Menurut Rasfan karya yang dihasilkan menekankan kepada unsur-unsur estetik dalam seni – Gambar Fariz Azmir Ghazali, 1 Oktober, 2023

Estetik menekankan prinsip asas seni visual seperti meneliti konsep imbangan, perkadaran, perpaduan, irama, kontras dan simetri. Melalui estetik kita dapat menghargai bagaimana elemen ini menyumbang kepada kesan dan daya tarikan keseluruhan karya.

Terang Rasfan lagi, walaupun estetik menyediakan rangka kerja bagi menganalisis dan menilai sesebuah karya seni tetapi adalah penting untuk mengakui bahawa keindahan nilai estetik boleh menjadi sangat subjektif dan dipengaruhi oleh budaya serta pengalaman.

Setiap individu mungkin mempunyai pilihan dan tafsiran yang berbeza dan apa yang dilihat oleh seseorang itu mungkin menyangkanya tetapi tidak pada pandangan individu lain.

Proses Berkarya

Berbicara tentang proses menghasilkan karya, Rasfan menerangkan bahawa beliau mula berkarya pada awal tahun 2023. Tetapi semua kerja tersebut terhenti seketika apabila tibanya bulan Ramadan. Setelah menyambut Aidilfitri Rasfan kembali melukis dan semua karya berjaya disiapkan beberapa hari sebelum pameran berlangsung.

Menurutnya lagi, bagi siri ini buat pertama kali Rasfan melukis menggunakan berus secara seratus peratus. Berbeza dengan keadaan sebelumnya dimana beliau akan menggunakan pelbagai alat seperti penggelek, trowel dan pallet knife.

Melalui siri Seafarer ini, Rasfan memfokuskan kepada warna-warna terang dan garang – Gambar Fariz Azmir Ghazali, 1 Oktober, 2023

“Setelah lebih 10 tahun melukis menggunakan pelbagai peralatan akhirnya saya kembali menggunakan berus sepenuhnya. Ini kerana saya inginkan kesan sapuan berus yang lebih jitu dan permukaan kanvas pula lebih licin dan tidak bertekstur,” kata Rasfan.

Bagi aspek warna Rasfan masih mengadunkan warna panas dan warna sejuk secara seimbang. Pemilihan media warna juga terdiri daripada pelbagai jenis seperti cat industri, arkrilik, tampera, emulsion, plaka dan dakwat cina.

Bagi elemen garisan pula, Rasfan memilih media kering seperti pensel warna, pen marker dan oil bar.

Menurutnya lagi berkarya bukan satu kerja yang mudah kerana ia mengambil masa yang panjang dan menuntut banyak pengorbanan.

“Saya sentiasa mendisiplinkan diri saya agar terus berkarya agar kekal relevan dengan keadaan semasa. Selain itu, ia juga merupakan satu kaedah kajian berasaskan praktis dan ini lebih mirip dengan tuntutan kerja hakiki saya,” terang Rasfan.

Pemilihan media warna untuk Seafarer terdiri daripada pelbagai jenis seperti cat industri, arkrilik, tampera, emulsion, plaka dan dakwat cina – Gambar Fariz Azmir Ghazali, 1 Oktober, 2023

Rasfan turut menambah bahawa dia tidak terikat untuk melukis sepanjang masa kerana pada masa yang sama Rasfan juga turut menulis, membuat pembentangan kertas kerja dan menyelia pelajar.

Semua tanggungjawab ini dilakukan secara teratur dan dirancang terlebih dahulu bagi mengelakkan sebarang masalah.

“Saya perlu mendahulukan tugas mendidik dan kemudian bila ada masa terluang barulah mula berkarya. Karya saya juga tidak terhad kepada catan sahaja tetapi ia meliputi lukisan, fotografi, seni grafik, video dan menulis puisi,” terang Rasfan.

Mengakhri perbualan Rasfan berharap agar karyanya boleh dinikmati semua khalayak umum tanpa mengira usia dan latar belakang. Pameran Seafarer sedang berlangsung di Balai Seni Lukis Melaka bermula dari 15 Julai sehingga 1 Oktober 2023. – 1 Oktober, 2023

Fariz Azmir Ghazali adalah kurator bagi pameran Seafarer.