KUALA LUMPUR – Penyanyi popular, Khai Bahar akan menyampaikan lagu dangdut buat pertama kali pada konsert solonya yang akan berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 11 November depan.
Selain dangdut, Khai atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharudin, 29, akan turut menyampaikan lagu dari pelbagai genre seperti tradisional dan EDM.
“Kali ini saya cuba buat kelainan dalam konsert saya di mana kita akan mencuba pelbagai genre lagu termasuklah lagu-lagu saya sendiri dan juga lagu ‘cover’.
“Konsert ini nanti akan dibahagikan kepada beberapa segmen mengikut genre muzik, dan akan ada elemen kejutan di pengakhiran,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media konsert solo Khai Bahar di DFP.
Ditanya kenapa dia ingin menyanyi pelbagai genre lagu termasuklah dangdut dan tradisional untuk konsert kali ini, kata Khai dia mahu membawa nostalgia ketika menyanyikan lagu-lagu ‘cover’ di YouTube ke atas pentas DFP.
“Sebelum ini ramai peminat sudah lihat saya ‘cover’ macam-macam lagu di YouTube. Kali ini saya ingin persembahkan di atas pentas pula kerana saya diberi peluang untuk lakukan apa yang nak.
“Saya teruja untuk menyanyikan lagu dangdut kerana belum pernah menyampaikan genre berkenaan di mana-mana. Kita akan menari beramai-ramai pada malam tersebut,” katanya yang akan menyampai lebih daripada 15 lagu dengan iriingan band muzik pada malam tersebut.
Mendapat tawaran sejak hujung tahun lalu lagi, Khai berkata peluang mengadakan konsert solo di DFP merupakan antara perkara terbaik yang pernah berlaku dalam kerjaya nyanyiannya.
“Saya rasa menjadi impian setiap penyanyi di Malaysia untuk membuat persembahan di DFP. Namun tak semua yang berpeluang untuk dapat tawaran membuat persembahan di sini.
“Konsert ini adalah ‘benchmark’ dalam kerjaya saya. Satu lagi pencapaian dalam portfolio seni saya. Saya anggap ini adalah kenangan terindah sepanjang karier saya”, ujarnya.
Bagi peminat yang ingin mendapatkan tiket untuk menonton konsert ini boleh dapatkan di laman sesawang www.dfp.com.my. Atau boleh juga ke kaunter tiket. Harga tiket bermula dari RM189, RM239, RM319 dan RM399 (Meet & Greet). Harga untuk suite pula bermula dari RM189/RM239 seorang. – 27 September 2023.