KUALA LUMPUR – Pelakon baharu Siti Khadijah Halim tidak dapat menggambarkan perasaannya apabila impian untuk berlakon dalam karya terbitan Red Communications Sdn Bhd (Red Comm) tercapai menerusi drama bersiri Viu Original, From Saga With Love arahan Umi Salwana Omar.
Siti Khadijah yang mengakui dia seorang penggemar siri dan filem komedi romantik, berhasrat untuk menjadi seperti aktres Fazura dan Lisa Surihani yang cukup menyerlah dalam filem Gol & Gincu serta Istanbul Aku Datang.
“Saya gembira sebab impian saya memang mahu berlakon dalam cerita romantik komedi terbitan Red Communications. Fazura dan Lisa Surihani adalah ratu komedi romantik. Saya harap saya dapat jadi seperti mereka.
” Tapi, perjalanan saya masih jauh dan saya harap selepas akan ada kelangsungan untuk saya berlakon bersama Red Communications lagi,” katanya dengan wajah penuh ceria.
Mengulas mengenai penglibatannya di dalam From Saga With Love yang menjalani penggambaran di Saga yang terletak di Pulau Kyushu di Jepun, Siti Khadijah berkata, pada asalnya dia menjalani uji bakat untuk watak Bianca Rozario yang dipegang Sophia Albarakbah.
“Tapi, mungkin masa saya buat uji bakat itu, pengarahnya iaitu Umi nampak saya sebagai Karma. Waktu dia bagi skrip, dia suruh saya buat apa-apa yang saya nak buat. Saya pun buat dan cuba jadi macam diri sendiri. Mungkin, itu yang buatkan dia rasa saya lebih sesuai dengan watak karma.
“Saya pun happy sebab Karma nih sangat sama macam Siti Khadijah. Ia sedikit sebanyak memudahkan kerja saya sebab saya tak perlu try hard sangat.
“Tapi bila saya mula jalani penggambaran, barulah saya tahu buat cerita romantik komedi ini sebetulnya agak sukar. Sebab bukan mudah sebenarnya untuk buat orang jatuh cinta dengan karektor kita tanpa menjengkelkan mereka.
“Mula-mula saya ingat senang, tapi rupanya susah. Lucunya, ada juga momen-momen sikap gopoh atau cuai saya yang berlaku secara spontan digunakan di dalam siri ini sampai mereka suruh saya buat balik take tersebut,” jelasnya.
Meminati anime dan budaya Jepun hingga sanggup mengembara ke Tokyo dan Osaka sebelum ini, Siti Khadijah juga berkata, menjayakan pengambaran From Saga With Love juga banyak mengajarnya erti kesabaran.
“Sebelum ini, saya dah biasa buat drama pergi cepat, balik cepat. Tapi bila buat dengan platform OTT seperti Viu, pengalamanya cukup berbeza kerana sesebuah karya dihasilkan dengan begitu teliti sekali.
“Semua kena teliti dan tidak terburu-buru macam drama-drama lain yang pernah saya buat sebelum ini. Ia membuatkan saya rasa bersyukur. Sebab banyak perkara yang saya belajar daripada produksi ini.
“Malah, saya juga belajar bagaimana mahu mengasingkan watak Karma dengan diri saya. Bila saya borak dengan Umi, dia cakap saya kena lupakan Siti dan masukkan roh karma.
“Dulu bila saya berlakon yang saya berlakon adalah Siti Khadijah dan bukan watak yang saya bawakan itu. Baru sekarang saya faham perkara itu dan saya terus cuba untuk belajar banyak perkara tentang lakonan dan cuba terapkan dalam lakonan-lakonan saya di masa akan datang,” katanya.
Siti Khadijah juga akui sudah bersedia menerima respon atau kritikan terhadap lakonannya sebagai Karma dalam From Saga With Love ini.
“Tapi, saya akan nangis dulu kalau banyak yang mengkritik. Sebab saya hanyalah insan biasa. Saya ada perasaan sesiapa pun akan terguris kalau dapat kritikan yang sangat menyedihkan.
“Tapi saya faham dalam dunia ni manusia macam-macam corak. Ada yang suka dan ada yang tidak suka. Kita tak boleh puaskan hati semua orang. Saya sedia terima kritikan dan saya akan buat yang terbaik lagi pada masa akan datang,” katanya.
From Saga With Love yang turut dijayakan Ikmal Amry, Sophia Albarakbah, Fimie Don, Vanidah Imrah dan Sharifah Amani ini telah pun mula ditayangkan di platform Viu semalam. – 22 September, 2023