Air mata Liza Aziz berderai saat kongsi kisahnya bekerja dengan Sudirman, ralat tidak dapat berjumpa saat akhir

Liza Aziz mula bekerja dengan arwah Sudirman pada 1984 sebagai penyanyi latarnya

Kata Liza Aziz, Allahyarham Sudirman seorang yang merendah diri, tidak lokek idea dan sentiasa banyak memberi tunjuk ajar kepada mereka sendiri - Gambar Scoop, 17 September, 2023

KUALA LUMPUR – Penyanyi legenda, Liza Aziz tidak dapat menahan air mata saat menceritakan tentang kenangannya bekerja bersama Allahyarham Datuk Sudirman Arshad sewaktu menjayakan Konsert A Tribute to Sudirman bersama Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), malam tadi.

Menurut Liza yang juga anak kepada pasangan Allahyarham seniman Aziz Jaafar dan seniwati Normadiah ini, dia mula bekerja dengan arwah Sudirman pada 1984 sebagai penyanyi latarnya.

“Banyak pengalaman yang tidak dapat saya lupakan sepanjang lapan tahun bersama Allahyarham terutama ketika menjayakan konsert Chow Kit Road. Ratusan ribu orang yang datang.

“Kedua, siapa yang ingat dengan baju bendera Malaysia yang dipakai oleh arwah yang penuh labuci itu, sayalah yang jahit. Kalau saya ada show, mak saya (Allahyarham Normadiah) akan tolong jahit. Alhamdulillah, baju itu dapat disiapkan dan arwah dengan bangganya dapat membuat persembahan dengan baju tersebut.

“Satu lagi, setiap kali mengadakan persembahan private, abang Sudir (panggilan untuk arwah) akan jemput saya berduet dengannya. Selesai show, selalunya lelaki akan mendukung wanita. Sebaliknya, saya pula yang dukung dia. Walaupun arwah kecil tapi dia agak berat juga.

“Itulah antara pengalaman yang tidak dapat saya lupakan. Saya juga bangga dapat jayakan konsert tribute untuk beliau di sini,” katanya di hadapan penonton.

Namun, selepas konsert tersebut berakhir, Liza yang ditemui pihak media tidak dapat menahan air mata apabila terus berkongsi cerita lebih lanjut dengan arwah Sudirman.

“Selama bekerja dengan dia, dia mahu sangat-sangat membuka syarikat rakamannya sendiri dan mahu terbitkan album untuk Uji Rashid dan saya. Saya terkejut dan tanya kenapa. Beliau cakap kamu sangat berbakat Liza. Tapi, tak sempatkan, hendak buat macam mana,” katanya dengan penuh sebak.

Jelas adik kepada penyanyi Azlina Aziz itu lagi, arwah Sudirman seorang yang merendah diri, tidak lokek idea dan sentiasa memberi tunjuk ajar kepada mereka.

“Saya cuma ralat sebab tak dapat jumpa beliau. Saya adalah orang terakhir yang menghubungi Allahyarham ketika beliau benar-benar sakit. Saya sendiri tidak mengenali suaranya. Ia tidak macam Sudirman langsung.

“Kata arwah, ini akan menjadi saat terakhir awak bercakap dengan saya sebab saya benar-benar sedang sakit. Selepas dua hari, dia dimasukkan ke hospital. Saya tidak dapat jumpa dia waktu dia meninggal kerana terlibat dengan show di Brunei. Itu yang membuatkan saya benar-benar ralat,” katanya sambil mengalirkan air mata.

Kata Liza Aziz, Allahyarham Sudirman seorang yang genius. Beliaulah yang menimbulkan idea untuk membuat konsert di Chow Kit Road – Gambar sudirman-arshad.blogspot.com, 17 September, 2023

Mengimbas semula kenangan sewaktu menjayakan konsert Chow Kit Road, Liza berkata, itu adalah kenangan yang cukup hebat baginya.

“Arwah adalah duta pelancongan pada masa itu. Memang beliau punya visi untuk buat sebuah konsert yang besar dan secara percuma yang boleh dihadiri ramai orang. Sebab selalunya, show arwah berbentuk eksklusif.

“Persoalannya, di mana hendak dibuat? Tapi, arwah sangat genius. Beliau yang timbulkan idea itu nak buat konsert di situ. Waktu itu, kita sendiri pun tertanya betul ke dia nak buat konsert di situ. Dengan ramai orang, dengan trafik yang sesak.

“Ada ke orang nak datang tengok. Bahkan, Sudirman sendiri pun tertanya-tanya, ada ke orang nak datang. Tapi, sampai waktu konsert, selautan manusia membanjiri Chow Kit hinggalah ke Dataran Merdeka.

“Tiada skrin dipacakkan di tempat lain. Yang jauh dari pentas, hanya dengar arwah menyanyi sajalah,” kata Liza Aziz mengimbau kenangan konsert di Chow Kit – Gambar sudirman-arshad.blogspot.com, 17 September, 2023

“Tiada skrin dipacakkan di tempat lain. Yang jauh dari pentas, hanya dengar arwah menyanyi sajalah dan lebih kurang 20 lebih lagu juga arwah nyanyikan dalam konsert tersebut,” katanya.

Selain Liza Aziz, Konsert A Tribute to Sudirman yang diadakan sempena sambutan Hari Malaysia turut dijayakan Hazama, Ernie Zakrie dan Arish Mikael. – 17 September, 2023