KUALA LUMPUR – Selepas 13 tahun tidak beraksi di pentas peragaan, aktres dan peragawati terkenal 90an, Azah Aziz, 50, kembali beraksi sebagai model untuk pereka fesyen tersohor, Rizman Ruzaini.
Azah dipilih sebagai seorang daripada model untuk pertunjukan fesyen Tower Fashion Eleganza Kuala Lumpur di atas Menara Kuala Lumpur, malam Sabtu.
“Saya masih tidak percaya dapat melakukan pertunjukan fesyen ini sebagai penampilan pertama saya selepas membuat kemunculan semula. Terima kasih Rizman Ruzaini kerana memilih saya.
“Lama saya tak ‘catwalk’. Kali terakhir pada tahun 2010. Tak sia-sia saya selalu berlatih ‘catwalk’ dengan kawan-kawan yang akhirnya membawa saya ke acara pertunjukan fesyen ini. Nervous (gementar) lah juga,” tulisnya di Instagram.
Selain Azah, acara berkenaan turut disertai barisan ‘supermodel’, seperti Nasha Aziz, Amber Chia, Tinie dan Thanuja Anathan.
Sementara itu, di ruangan komen, ramai netizen terpesona dengan kejelitaan wajah Azah yang kekal muda pada usianya kini.
Mereka juga memintanya supaya kembali berlakon kerana merindui lakonannya.
Ia termasuk soalan ditanyakan pengarah drama terkenal, Sharulezad yang ingin mengetahui bilakah Azah mahu berlakon di bawah arahannya.
Azah kini kembali menetap di Malaysia selepas lebih 20 tahun tinggal di Montreal, Kanada bersama suami dan tiga orang anak lelakinya. – 10 September, 2023