KUALA LUMPUR — Penyanyi Shila Amzah meluahkan rasa tidak puas hati terhadap segelintir pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk membayar dia dan suaminya, Ubai MZ dengan pakej harga yang sama hanya disebabkan status mereka sebagai suami isteri.
Dalam perkongsian di Inta Story miliknya, Shila menyifatkan perkara itu sebagai tidak profesional dan ia berlarutan sejak mereka berdua bertunang lagi.
“Kadang-kadang orang mungkin terlupa bahawa kita sebagai suami isteri, tidak menjadikan kita sebagai entiti secara profesional.
“Ubai MZ masih lagi menjadi pencipta kandungan dan penerbit di Astro, dan saya sebagai penyanyi, Shila Amzah. Dan tidak…kami tidak datang dalam pakej. Secara profesional kami tidak. Dan, kami ingin mengekalkannya seperti itu.
“Malangnya ada orang yang ingin mengambil kesempatan atas status perkahwinan kami dan meletakkan kami di tempat seperti ini. Ia sudah berlaku sejak kami bertunang lagi dan sejujurnya, ia sangat tidak profesional,” tegasnya.
Shila berharap perkara berkenaan dapat menjernihkan keadaan serta merungkai kekeliruan yang ada selain memaklumkan mesej tersebut bukan ditujukan kepada stesen televisyen tetapi pembuat kandungan di media sosial.
“Ini kerja-kerja konten di media sosial. Sebab mereka ingat selepas kahwin, mereka boleh bagi satu harga untuk kamu berdua melalui PA Ubai.
“Bagi satu harga untuk kami berdua, kita tidak boleh buat begitu. Ia akan membunuh harga pasaran untuk orang lain,” jelasnya.
Shila Amzah dan Ubai mengikat tali pertunangan pada 27 Mei 2023 dan melangsungkan pernikahan pada 5 Ogos 2023. Hasil perkahwinan terdahulu dengan Haris Idraki Elias pada 2018, Shila dikurniakan seorang cahaya mata, Seth Uwais yang kini berusia 4 tahun. – 6 September, 2023