KUALA LUMPUR — Pengacara sensasi, Azwan Ali atau lebih dikenali sebagai Diva AA mengakui dia tidak dapat berbuat apa-apa jika masih ada segelintir rakan-rakan artis yang masih mahu memusuhi dirinya hingga ke saat ini.
Menurut Diva AA, musuhnya sejak azali adalah dari kalangan artis-artis yang tidak kenang budi dan perasan ‘tersohor’.
“Padahal, mereka inilah yang saya kutip sebagai artis undangan dalam banyak produksi saya sebelum ini iaitu Azwan Ali Production. Termasuklah ‘sempudal’ yang mensihirkan saya. Sebab itu, saya bagi tahu teruslah kekal sebagai musuh.
“Saya juga takkan berjumpa dengan mereka dalam mana-mana produksi lagi selepas ini. No more!. Orang kalau dah benci, mereka tetap akan bencikan kau dunia akhirat. Bahkan, mereka akan buat apa sahaja untuk menyakitkan hati kau.
“Jadi, sekarang ini, Diva AA nak jadi macam Nad Zainal. Nak jumpa dengan puaka-puaka ini di alam lain. Diva AA dah terlalu masak dengan gelagat artis-artis yang bongkak, lupa diri dan tergamak mensihir Diva AA.
“Tapi dengan kuasa Allah, berbilion orang tampil ke hadapan untuk membantu penyakit sihir saya. Bahkan, ramai juga artis-artis yang menghubungi dan bertanya dan mengambil berat akan keadaan saya. Antaranya Datuk Fauziah Nawi.
“Insya-Allah, pada usia 57 tahun ni, Diva AA sihat walafiat. Tapi, gara-gara serangan sihir dari Siam yang dahsyat, Diva AA lemah longlai macam usia 100 tahun.
“Tapi itu minggu lepas, hari ini, saya dah sihat. Cuma saya lemah lagi. Sedang dalam proses untuk pulihkan diri. Healing sampai pagi, oh no… , bak lagu MalamPagi,” selorohnya sambil tertawa.
Diva AA turut berterima kasih kepada Ustad Din dan isteri dari Pusat Rawatan Pakar Islam Al-Mujahidin di Ayer Keroh Melaka yang sudi mengubati dirinya.
“Orang lain beratur kena ambil nombor tapi Diva AA dapat layanan istimewa.
“Apa tidaknya, sudahlah tidak perlu nombor, Ustaz Din dan isteri juga memberi laluan untuk terima saya pada Ahad lalu tanpa pesakit-pesakit lain.
“Diva AA juga mendengar pesanan Ustaz Din supaya tidak berdendam dengan mana-mana pihak,” katanya. – 29 Ogos, 2023