Isu papan tanda tidak memaparkan Bahasa Melayu dan serbuan DBKL – Mohamed Hanipa Maidin

Mana-mana negara di dunia sudah tentu akan mengutamakan bahasa kebangsaan mereka dan ini adalah suatu semangat nasionalisme semula jadi

Isu melibatkan penguatkuasaan DBKL terhadap tulisan di papan tanda kedai bukan perkara baru, sebaliknya ia adalah isu berulang. - Gambar fail Scoop, 25 November, 2024

ISU Dewan Bandaraya Kuala Lumpur ( DBKL ) melancarkan operasi berskala besar yang dikatakan menyasarkan papan tanda tidak memaparkan bahasa Melayu di pelbagai kawasan termasuk Segambut, Pudu dan Jalan Silang di pusat bandar tiba-tiba menjadi isu panas.

Isu tersebut mungkin menjadi sensasi kerana beberapa ahli politik dalam Kerajaan Perpaduan sendiri kelihatannya bertelagah sesama mereka, sama ada mereka mengkritik tindakan DBKL atau menyokongnya. 

Yang Berhormat (YB) Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya dan YB Ahli Parlimen Bukit Bintang dilihat mengkritik tindakan DBKL itu manakala Ketua Pemuda Umno pula dilihat mempertahankan tindakan DBKL.

Sementara itu, DBKL dilaporkan berkata operasi berskala besar mereka hanya menyasarkan papan tanda tidak memaparkan bahasa Melayu kerana ia melanggar Undang-Undang Kecil Iklan ( Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ) 1982 . 

Di dalam facebook DBKL, badan itu menunjukkan beberapa contoh papan tanda yang hanya memaparkan tulisan Bahasa Malaysia dalam perkataan atau ejaan yang kecil. 

Yb Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya dilaporkan berkata dia menerima pertanyaan daripada pelancong asing yang bertanya apakah Malaysia sebuah negara bersifat perkauman atau ekstrem agama, berikutan serbuan DBKL tersebut.

Dan dikatakan keraguan pelancong asing tersebut secara langsung mempengaruhi keputusan pelancong untuk melawat Malaysia dan membantutkan daya saing negara di persada global. 

Dikatakan juga ‘dengan Malaysia bersedia untuk menjadi pengerusi Asean pada 2025, dengan beberapa siri mesyuarat Asean dijadual berlangsung di negara ini tahun depan, ini memberi peluang keemasan untuk mempamerkan kepelbagaian dan keterangkuman Malaysia di pentas global’.

Dengan hormat saya rasa hujah ini maaf cakap, agak meleset. Mana-mana negara di dunia ini sudah tentu akan mengutamakan bahasa kebangsaan mereka berbanding bahasa-bahasa lain. Ini suatu semangat nasionalisme yang semula jadi (inherent ). 

Misalnya jika kita pergi ke negara China sekali pun, sudah tentu bahasa Cina diutamakan berbanding bahasa lain. Justeru itu keraguan yang dibangkitkan itu bagi saya tidak timbul sekali dan sewajarnya boleh dijawab dengan begitu mudah oleh YB Menteri. 

Bagi saya keraguan bukan isu ( a non- issue) sama sekali. Setakat yang saya ikuti isu ini di media saya tidak nampak sebarang kenyataan daripada YB Menteri Wilayah Persekutuan sama ada mengkritik atau menyokong tindakan DBKL tersebut. 

Dengan hormat, jika benar tiada sebarang kenyataan rasmi daripada YB Menteri Wilayah Persekutuan, ia agak aneh dan pelik. 

Bagi saya jika tindakan DBKL itu betul YB Menteri Wilayah Persekutuan perlu menyokongnya dan jika sebaliknya beliau perlu memperbetulkannya. Berdiam diri bukanlah opsyen yang sesuai.

Apakah posisi undang-undang dalam isu ini?

Ya, isu ini ada kaitan dengan sejauh manakah seseorang itu arif dan peka dengan kedudukan bahasa Melayu dalam undang-undang tertinggi negara ini iaitu Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 152 Perlembagaan Malaysia jelas memperuntukkan bahasa kebangsaan di Malaysia ialah bahasa Melayu.

Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan walau bagaimanapun tidak menafikan kedudukan dan hak bahasa lain untuk digunakan, dipelajari dan dikembangkan sekali pun dengan menggunakan dana awam.

Oleh itu saya berpendapat semua pihak perlu memahami asas penting ini. Dalam ilmu perundangan para pakar Perlembagaan menyatakan kedudukan bahasa Melayu dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan adalah salah satu ‘indigenous elements’ dalam Perlembagaan Persekutuan selain Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan juga kedudukan Raja-Raja Melayu.

Prinsip itu semua amat perlu dihormati. Jika di India mungkin kita boleh hujahkan ketiga-tiga elemen di atas ibarat ‘basic structure’ yang mana jika di India berdasarkan doktrin ‘basic structure’ ada beberapa peruntukan di dalam Perlembagaan di India tidak boleh dipinda sama sekali seperti kedudukan India sebagai negara sekular! Lihat kes Kesavananda Bharati v. State of Kerala.

Di samping Perlembagaan, di Malaysia juga ada sebuah Akta Parlimen yang berkait dengan kedudukan bahasa melayu iaitu Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (dikenali juga sebagai Akta 32).

Dalam konteks isu yang sedang dibahas sekarang undang-undang yang berkaitan adalah Undang- Undang Kecil Iklan ( Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ) 1982 . Undang-undang kecil ini digubal berdasarkan seksyen 102 Akta Kerajaan Tempatan 1976 .

Berdasarkan peraturan 3 ( 1 ) dan ( 2 ) Undang-Undang Kecil tersebut semua iklan hendaklah dalam bahasa kebangsaan dan boleh juga dalam apa-apa bahasa lain manakala huruf-huruf bagi perkataan-perkataan dalam bahasa kebangsaan hendaklah diberi keutamaan dan hendaklah dari saiz yang lebih besar daripada huruf-huruf atau tulisan perkataan- perkataan dalam bahasa lain.

Frasa ‘hendaklah dalam bahasa kebangsaan’, bagi saya, jelas menunjukkan wajib diutamakan penggunaan bahasa kebangsaan sedangkan penggunaan bahasa-bahasa lain hanyalah sekadar pilihan ( optional).

Apa yang berlaku nampaknya terbalik di mana bahasa lain diutamakan dan bahasa kebangsaan seolah dikesampingkan.

Atas dasar itu kelihatannya DBKL berada di landasan yang betul

Akhirnya isu ini kelihatannya bukan timbul buat kali pertama sebaliknya ia isu yang berulang.

Jika kali pertama timbul amat logik jika ia kerana suatu kesilapan. Tetapi jika ia timbul kerap kali , mungkin agak sukar untuk menerima ianya adalah suatu kesilapan. – 25 November, 2024

Mohamed Hanipa Maidin adalah mantan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang).