KUALA LUMPUR – Proses penamaan calon di 173 pusat penamaan calon di enam negeri akan bermula pada 9 pagi namun penyokong-penyokong parti bertanding sudah mula memenuhi pusat penamaan tersebut.
Antara calon yang telah tiba di pusat penamaan ialah Calon PH Juwairiya Zulkifli bagi DUN Hulu Kelang, Selangor.
Selain itu, calon Muda bagi kerusi Dusun Tua, Al Hafiz Ikhwan, juga tiba di pusat penamaan calon bersama sekumpulan penyokong.
Beliau tiba di tapak Himpunan Perpaduan Gombak di Jambatan Sungai Chinchin pada jam 7.25 pagi.
Anggota polis juga sudah mengadakan kawalan dan menutup laluan utama menuju ke beberapa pusat-pusat penamaan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan serta PRK Parlimen Kuala Terengganu diadakan serentak dengan 12 Ogos sebagai hari pengundian, manakala pengundian awal pada 8 Ogos.
PRN itu merupakan kali pertama menyaksikan enam negeri berkenaan mengadakan pilihan raya bagi memilih Ahli DUN masing-masing secara berasingan daripada pilihan raya untuk kerusi Parlimen.
Dalam pada itu, Rafizi Ramli turut memberikan sokongan di Sikamat. Beliau disambut penyokong PH dan BN di Surau AL – Ansar.
Sementara itu, penyanyi rap Altimet yang berpakaian baju melayu warna merah hadir bersama penyokong di Dewan Dato Ahmad Razali. Beliau akan bertanding di DUN Lembah Jaya, mewakili PH. – 29 Julai, 2023