KUALA LUMPUR – Di sebalik alasan DAP untuk ‘memberikan nafas baharu’ kepada parti itu apabila mahu meletakkan calon muka baharu di Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang, masih tersenarai nama pemimpin lama, Lim Guan Eng.
Malah, lebih menjadi perhatian apabila Ahli Parlimen Bagan itu berdepan dengan beberapa kontroversi, termasuk terkini sedang menghadapi perbicaraan di mahkamah berhubung kes rasuah.
Penganalisis politik dari Pusat Perdana Fakulti Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali berpandangan, walaupun mungkin Guan Eng disifatkan sebagai ikon DAP, secara peribadi beliau menganggap adalah lebih baik kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Putih yang dinamakan untuk pemimpin itu, diberikan kepada muka baharu, bagi menggambarkan parti berkenaan lebih ‘bercita-cita’.
“Sebenarnya muka baru ini bagus kerana ia pelan peralihan kuasa penting supaya meremajakan parti, tetapi bila orang lama macam Guan Eng masih naik nama, pada saya peluang itu sepatutnya diberi pada orang barulah.
“Beliau (Guan Eng) masih ada perbicaraan kes mahkamah, eloknya fokus tugas Ahli Parlimen, itu dah cukup dah, DUN (Dewan Undangan Negeri) berilah kepada orang lain, orang baru.
“DAP nak calonkan siapa-siapa itu hak merekalah, tetapi kalau kita tanya dari segi strategi politik dan fokus masa depan DAP, peremajaan parti itu penting, jadi lebih baik mereka melantik orang baru, pada saya Guan Eng ini zaman beliau dah berlalu,” katanya kepada Scoop.
Bagaimanapun, penganalisis politik, Profesor Madya Awang Azman Awang Pawi berkata, keputusan DAP memasukkan dan mengekalkan beberapa muka lama adalah percaturan ‘bijak’ untuk mencipta gabungan seimbang dan membina sinergi lebih baik, sekali gus membolehkan pemimpin senior menjadi mentor kepada calon muda.
Katanya, bagi memimpin negeri maju seperti Pulau Pinang, kuasa pentadbirannya bukan sahaja memerlukan pandangan daripada pemimpin baru, malah penglibatan pengamal lama untuk membawa gabungan kepelbagaian pandangan, idea, pendapat dan persepsi berdasarkan kolaborasi kedua-dua pihak.
Awang Azman berkata, sebagai sebahagian usaha peremajaan parti dan pada masa sama tidak meminggirkan kepimpinan lama, negeri berkenaan juga memerlukan kelompok pemimpin berpengalaman dalam politik, pentadbiran dan hal ehwal ekonomi, justeru penggabungan terbabit wajar dilakukan.
“Saya lihat Guan Eng pernah dilantik Ketua Menteri Pulau Pinang, menjadi pimpinan kerajaan negeri dan berpengalaman sebagai pemimpin di peringkat Persekutuan, malah menjadi Menteri Kabinet, jadi pengalaman (beliau) ini saya kira penting untuk membawa negeri berkenaan ke arus lebih baik.
“Berkenaan dengan kontroversi didepani Guan Eng, saya kira tidak dapat menyaingi sumbangan, kepakaran dan pengalaman luas Guan Eng, lebih jauh kelebihannya berbanding dengan mungkin ada beberapa kelemahan yang perlu dibaiki beliau,” katanya.
Penganalisis politik, Profesor Dr Rusdi Omar pula berpendapat, selain hakikat Guan Eng mempunyai kelompok pengundi tersendiri yang akan memilihnya, DAP wajar meletakkan beberapa muka lama, termasuk mantan Menteri Kewangan itu kerana tidak berani ‘mengambil risiko’ atau sukar membuat perubahan drastik disebabkan situasi politik semasa.
“Dalam keadaan politik sekarang ini mereka perlu kekalkan muka lama dan memasukkan muka baru, tapi tidak boleh tukar seluruh calon dalam situasi politik sekarang ini. Jika menukar secara drastik dibimbangi ada peluang antara mereka ini akan terjejas kerana bukan semua pihak boleh terima setiap nama diletakkan. Dikhuatiri ada yang tak puas hati,” katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai peluang untuk setiap parti bertanding di Pulau Pinang, Rusdi berkata, beliau menjangkakan DAP tidak mempunyai masalah untuk mengekalkan kedudukan di negeri berkenaan, sebaliknya cabaran akan lebih dihadapi komponen lain Pakatan Harapan (PH), iaitu PKR, Amanah dan Umno bagi menawan kawasan DUN yang majoritinya pengundi Melayu.
“Sekarang tumpuan bukan kepada DAP, tapi di kerusi majoriti Melayu, jadi PKR, Amanah dan Umno ini kena cara strategi macam mana parti mereka perlu pertahankan kerusi dimenangi tempoh hari supaya tak ditawan PAS dengan Bersatu. Saya juga tak nampak negeri seperti Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan akan berlaku perubahan besar. – 27 Julai, 2023