KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini mengisytiharkan kekosongan luar jangka kerusi Parlimen Pulai kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul berkata, pemakluman kerusi P161 itu selaras dengan Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan.
“Saya selaku Yang di-Pertua Dewan Rakyat sudah mengemukakan suatu pemberitahuan bertarikh 25 Julai 2023 kepada Pengerusi SPR bahawa Datuk Seri Salahuddin Ayub, Ahli Parlimen Pulai, Johor meninggal dunia pada Ahad, 23 Julai 2023.
“Oleh yang demikian, selaras dengan Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan, pihak SPR Malaysia hendaklah mengisi kekosongan luar jangka kerusi Parlimen Kawasan P161 Pulai, Johor dalam tempoh 60 hari dari tarikh dipastikan SPR Malaysia bahawa ada kekosongan,” katanya.
Johari berkata, pihak Parlimen merakamkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Salahuddin.
“Saya mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman serta beramal soleh di sisi Allah,” katanya.
Allahyarham Salahuddin meninggal dunia pada jam 9.23 malam ini pada usia 61 tahun.
Perkara itu disahkan oleh anak perempuannya, Fatiha Salahuddin menerusi kenyataan di Facebook.
“Dukacita dimaklumkan ketua keluarga kami Salahuddin Ayub telah menghadap Ilahi pada jam 9.23 malam, 23 Julai 2023,” katanya. – 25 Julai, 2023