KUALA LUMPUR – Kerajaan akan membentangkan hasil perbincangan bersama beberapa agensi, termasuk badan bukan kerajaan (NGO) berhubung perundangan berkaitan isu agama, bangsa dan raja (3R) pada mesyuarat Kabinet minggu ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institut), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, langkah itu adalah bagi membolehkan Jemaah Menteri menilai sama ada undang-undang sedia ada mencukupi atau perlu ditambah baik.
Katanya, ia sekali gus membolehkan usaha mengekang penggunaan isu 3R, terutama sebagai senjata politik.
“Pihak kementerian sudah berbincang dengan beberapa agensi antaranya badan peguam, NGO termasuk Pertubuhan Masyarakat Madani (CSO) baru-baru ini.
“Pertemuan membincangkan hala tuju undang-undang sedia ada sebab ada berpendapat undang-undang yang ada sudah mencukupi, ada kata perlu ada cara macam di negara luar, seperti Singapura dan Australia. Jadi, dalam mesyuarat Kabinet minggu ini, saya akan bentang kesimpulan perbincangan.
“Bagaimanapun, perbincangan undang-undang berkaitan 3R perlu diperbanyakkan sebab dalam soal perpaduan dalam jangka panjang untuk Malaysia, akan sentiasa wujud politik gunakan agama bangsa dan institusi raja sebagai elemen bullet (peluru) politik,” katanya seperti dilaporkan BH.
Beliau berkata demikian pada Konvensyen Komunikasi Media Madani: Komunikasi Strategik dan Digital di Kepala Batas, Pulau Pinang hari ini ketika diminta mengulas hasil perbincangan kerajaan dan pihak berkaitan mengenai isu perundangan 3R yang diadakan Jumaat lalu.
Azalina memaklumkqn, undang-undang sedia ada disifatkannya mencukupi tetapi kebanyakannya membabitkan elemen jenayah, sekali gus memerlukan ia dilihat dari sudut perpaduan.
Jelasnya, ada negara mempunyai undang-undang harmoni, undang-undang negara bangsa, jadi pihaknya perlu mengkaji tetapi ia tertakluk kepada keputusan Kabinet.
“Menerusi perbincangan, banyak pihak menyuarakan cabaran masa kini, terutama kes membabitkan media sosial dari segi penguatkuasaan dan sabitan.
“Ketika Akta Hasutan 1948 digubal, tiada media sosial seperti Twitter, Facebook, Instagram dan sistem kecerdasan buatan (AI).
“Media sosial itu mesin dan bagaimana nak buktikan mesin itu dan bawa ke mahkamah? Susah sebab ia boleh dibuat dan padam, maka ini yang perlu diperhalusi,” katanya. – 24 Julai, 2023