Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
PRN Kedah: BN diberikan laluan bertanding di DUN Tanjung Dawai | Scoop

PRN Kedah: BN diberikan laluan bertanding di DUN Tanjung Dawai

Jumaat lalu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, memaklumkan BN akan bertanding di 108 kerusi DUN di enam negeri yang terlibat dengan PRN termasuk 15 kerusi DUN di Kedah

6:00 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) diberikan laluan oleh Pakatan Harapan (PH) untuk meletakkan calon bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Dawai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah, 12 Ogos ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan berikutan itu pucuk pimpinan parti telah memilih Ketua UMNO Bahagian Merbok, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin sebagai calon untuk bertanding di DUN berkenaan.

“Dengan mandat yang diamanahkan oleh Pengerusi BN (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi), maka Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin diumumkan sebagai calon bagi kerusi DUN N26, Tanjung Dawai Kedah, (mewakili) BN.

“Saya mewakili BN merakamkan penghargaan kepada PH atas semangat perpaduan dengan memberi laluan kepada BN untuk bertanding di kerusi DUN Tanjung Dawai,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya, hari ini.

Pada majlis mengumumkan senarai penuh calon BN pada Jumaat lepas, Ahmad Zahid, yang juga Timbalan Perdana Menteri, memaklumkan BN akan bertanding di 108 kerusi DUN di enam negeri yang terlibat dengan PRN termasuk 15 kerusi DUN di Kedah.

Bagaimanapun, nama calon bagi DUN Tanjung Dawai tidak diumumkan pada malam berkenaan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Ogos ini sebagai hari mengundi bagi PRN Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Selain itu, Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu turut diadakan serentak pada hari berkenaan.Hari penamaan calon adalah  pada 29 Julai dan hari mengundi awal pada 8 Ogos ini. – 24 Julai, 2023

Topics

 

Hangat

Related